THE HAGUE: Rodrigo Duterte, secara peribadi membenarkan pembunuhan dan memilih sendiri sebahagian mangsa dalam ‘perang terhadap dadah’ beliau lancarkan.
Perkara itu dimaklumkan dalam keterangan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam, ketika prosiding terhadap bekas presiden Filipina itu bermula.
Timbalan Pendakwa Raya, Mame Mandiaye Niang, berkata pendengaran pengesahan pertuduhan yang berlangsung selama seminggu itu diadakan bagi menentukan sama ada perbicaraan penuh akan diteruskan atau menjadi peringatan bahawa mereka yang berkuasa tidak kebal daripada undang-undang.
Duterte, 80, tidak hadir selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya beliau dikecualikan daripada hadir, walaupun hakim memutuskan beliau layak mengambil bahagian dalam prosiding.
Niang berkata Duterte memainkan peranan penting dalam pembunuhan di luar proses kehakiman terhadap suspek pengedar dan penagih dadah, bermula ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao City sebelum dilantik sebagai presiden.
Niang berkata, bekas pemimpin itu membenarkan pembunuhan dan secara peribadi memilih sebahagian mangsa.
Menurut peguam, Nicholas Kaufman, berkata bekas pemimpin itu menafikan pertuduhan berkenaan. Kaufman dijadual memberikan maklum balas pada hari sama.
Selepas pendengaran selesai, panel hakim mempunyai tempoh 60 hari untuk mengeluarkan keputusan bertulis sama ada kes itu akan diteruskan ke perbicaraan penuh.
Duterte berdepan tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, dengan pihak pendakwa mendakwa beliau terbabit dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan antara 2013 hingga 2018.
Jumlah sebenar korban sepanjang kempen antidadah di Filipina dipercayai mencecah ribuan dan peguam mewakili mangsa berhujah perbicaraan penuh boleh menggalakkan lebih banyak keluarga tampil memberi keterangan.
-Advertisement-
Niang menyifatkan pertuduhan pembunuhan yang difailkan sebagai ‘hanya sebahagian kecil’ daripada angka sebenar yang terkorban.
Duterte, yang menjadi presiden dari 2016 hingga 2022, ditahan di Manila pada Mac tahun lalu sebelum diterbangkan ke Belanda dan kini ditempatkan di unit tahanan ICC di Penjara Scheveningen, The Hague.
Beliau mengikuti pendengaran awal tiga hari kemudian menerusi pautan video, dilaporkan kelihatan lemah dan kurang bercakap.
Pertuduhan pertama membabitkan dakwaan pembabitan beliau sebagai pelaku bersama dalam 19 pembunuhan antara 2013 hingga 2016 ketika menjadi Datuk Bandar Davao City.
Pertuduhan kedua pula berkaitan 14 pembunuhan individu yang diklasifikasikan sebagai ‘Sasaran Bernilai Tinggi’ pada 2016 dan 2017 semasa beliau menjadi presiden.
Pertuduhan ketiga merangkumi 43 pembunuhan dalam operasi ‘pembersihan’ terhadap suspek pengguna atau pengedar dadah peringkat bawahan di seluruh Filipina antara 2016 hingga 2018.
Di Manila, kira-kira 60 ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam tindakan keras itu berkumpul di sebuah pusat komuniti kendalian gereja Katolik untuk golongan miskin bagi mengikuti prosiding menerusi siaran televisyen.
Kumpulan yang kebanyakannya wanita warga emas dan pertengahan usia itu kehilangan suami atau anak lelaki akibat ditembak dalam operasi polis dan menyatakan kekecewaan mendalam kerana Duterte tidak diwajibkan hadir ke mahkamah.
-AGENSI
-BeritaHarian