Harga diskaun, promosi akan imbangi kesan kenaikan SST

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 item kecuali makanan, minuman dan telekomunikasi dijangka tidak terlalu membebankan pengguna kerana peruncit akan menawarkan pelbagai diskaun dan promosi bagi bagi memastikan harga produk kekal mampu dimiliki.

-Advertisement-

Timbalan Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Ken Phua, berkata kenaikan sebanyak dua peratus itu berkemungkinan memberikan sedikit kesan domino tetapi ia akan diimbangi dengan inisiatif peruncit untuk mengurangkan impak kenaikan harga.

“Saya percaya kerajaan akan meneliti perkara ini (kenaikan kadar SST) sebelum ia dilaksanakan. Namun, bagi pihak peruncit, kami akan menyokong dasar kerajaan untuk memastikan kesan kenaikan harga adalah minimum dengan melaksanakan pelbagai langkah diskaun dan promosi.

“Apa yang boleh membantu rakyat berbelanja dengan baik akan dilaksanakan oleh peruncit. Kita akan bantu turunkan kos seperti mana dilaksanakan ketika COVID-19 bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Web Bytes Sdn Bhd (Web Bytes) dan E3 Capital Sdn Bhd di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus yang tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Dalam pada itu, Phua berkata, MRCA menjangkakan sektor runcit berkembang pada kadar 3.3 hingga 3.5 peratus tahun depan disokong unjuran pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

Katanya, dengan perkembangan ekonomi yang semakin baik, kadar pengangguran dan kadar inflasi menurun, di mana akan meningkatkan kuasa beli pengguna, seterusnya bakal memberi suntikan kepada ekonomi dan sektor peruncitan.

“Faktor perkembangan dalam induatri pelancongan juga akan mendorong sektor peruncitan. Kemasukan pelancong asing akan memacu pertumbuhan sektor ini,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata, pertumbuhan pada 2024 akan menjadi unjuran yang munasabah, bukan sahaja sektor makanan dan minuman (F&B), tetapi untuk semua sektor yang terbabit.

“Untuk tahun ini. MRCA menjangkakan sektor peruncitan berkembang pada kadar 2.7 peratus berbanding 10.4 peratus tahun lalu. Tahun lalu agak istimewa kerana asas perbelanjaan yang tinggi pasca COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Web Bytes, sebuah syarikat perisian pengurusan runcit memeterai perjanjian dengan E3 Capital yang mengendalikan E3Hubs, sebuah komuniti usahawan yang berkembang pesat di Malaysia.

Kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital bagi ahli usahawan F&B dalam E3Hubs dengan memberi akses kepada teknologi berasaskan awan, untuk membantu mengoptimumkan proses perniagaan, meningkatkan kecekapan operasi, sesuai dengan tuntutan dinamik industri, dengan kos pelaburan yang lebih rendah.

E3Hubs mempunyai komuniti yang kukuh dengan 3,000 ahli usahawan yang berdaftar, dengan hampir separuh daripadanya daripada sektor F&B.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373