KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan sokongan terhadap penganjuran aktiviti dakwah termasuk program Street Dakwah di sekitar Bukit Bintang, selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata setiap penganjuran aktiviti awam perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan orang ramai terpelihara.
Menurut beliau, DBKL sentiasa bekerjasama dengan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran sesuatu program.
“Dalam hal ini, DBKL turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“JAKIM melalui bahagian dakwah bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga mendapatkan koordinasi DBKL bagi penganjuran program Street Dakwah di Bukit Bintang.
“JWP menyokong segala usaha dakwah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan akan memudahkan proses penganjuran aktiviti dakwah di Kuala Lumpur mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan berhubung pelaksanaan program berbentuk advokasi di ruang awam yang tidak mengganggu ketenteraman di ibu negara.
Isu Rampasan Bukan Babitkan Bahan Dakwah
-Advertisement-
Mengulas soalan tambahan berkaitan dakwaan rampasan bahan Street Dakwah, Hannah menjelaskan tindakan yang diambil tidak melibatkan bahan dakwah, sebaliknya berkaitan penggunaan kanopi atau khemah.
“Saya ingin membetulkan kenyataan bahawa Datuk Bandar yang baharu merampas bahan Multiracial Reverted Muslim (MRM). Itu adalah fitnah dan kita perlu bersangka baik, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
“DBKL sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, isu membabitkan aktiviti dakwah jalanan oleh pertubuhan Multiracial Reverted Muslim (MRM) di sekitar Bukit Bintang mencetuskan perhatian selepas pihak berkuasa tempatan merampas khemah serta beberapa barangan lain atas alasan menghalang laluan pejalan kaki.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong, menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, bagi membincangkan isu berkenaan susulan tindakan penguatkuasaan yang dibuat pada 17 Februari lalu.
DBKL sebelum ini memaklumkan tindakan diambil selepas wakil penguat kuasa menunggu lebih 30 minit sebelum melaksanakan peruntukan undang-undang keselamatan awam, berikutan dakwaan halangan terhadap laluan pejalan kaki di kawasan terbabit.
-BeritaHarian