WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) semalam melancarkan serangan balas peluru berpandu balistik anti-kapal baharu di Yaman terhadap wilayah negara itu yang dikawal Houthi, selepas mereka menyerang kapal milik Greece di Laut Merah.
Sebuah kapal pengangkut milik Greece yang berbendera Malta terkena peluru berpandu dari arah utara di Laut Merah kira-kira 76 batu nautika ke barat laut pelabuhan Saleef di Yaman, kata firma keselamatan dan dua sumber Kementerian Perkapalan Greece.
Menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Saria, puak Houthi di Yaman melakukan serangan ke atas kapal yang dikenali sebagai Zografia, menggunakan peluru berpandu tentera laut hingga mengakibatkan terkena sasaran tembakan langsung.
Zografia sedang belayar dari Vietnam ke Israel dengan 24 anak kapal dan kargo kosong ketika diserang, kata salah seorang sumber Greek.
“Tiada kecederaan, hanya kerosakan material dan kapal masih belayar tetapi mungkin akan mengubah laluan untuk pemeriksaan keselamatan,” kata sumber itu.
Gangguan kepada perkapalan di Laut Merah akibat serangan Houthi akan menaikkan harga barangan pengguna khususnya di Eropah, kata seorang eksekutif dari operator pelabuhan dan pengangkutan DP World yang akan meningkatkan kesan terhadap perdagangan.
Militia Houthi yang bersekutu dengan Iran mengancam untuk memperluaskan serangannya dengan menyasarkan kapal-kapal AS pula sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Britain ke atas pangkalannya di Yaman.
Serangan oleh Houthi ke atas kapal di wilayah itu sejak November mengakibatkan syarikat terjejas dan mencemaskan kuasa besar susulan perluasan perang lebih tiga bulan Israel dengan kumpulan pejuang Hamas di Gaza.
Houthi berkata pihaknya bertindak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Rumah Putih berkata serangan tambahan AS semalam adalah bagi mengeluarkan peluru berpandu balistik Houthi yang bersedia untuk dilancarkan.
Ini mengesahkan laporan Reuters sebelum ini, yang memetik pegawai AS, bahawa serangan baharu dilancarkan disasarkan kepada empat peluru berpandu anti-kapal dan tidak pernah dilaporkan sebelum ini.
“Kami tidak mahu meluaskan perang ini. Houthi mempunyai pilihan dan mereka masih mempunyai masa untuk membuat pilihan tepat, iaitu menghentikan serangan melulu ini,” kata jurucakap Rumah Putih, John Kirby.
Premium insurans risiko perang untuk penghantaran melalui Laut Merah meningkat, kata sumber insurans semalam.
Di Sepanyol, empat kilang milik pembuat tayar Perancis, Michelin, merancang untuk menghentikan pengeluaran sekali lagi pada hujung minggu ini, satu lagi tanda kesan kelewatan dalam penghantaran bahan mentah.
Pelayaran kapal kontena kini dihentikan seketika atau melencong dari Laut Merah dan menuju ke Terusan Suez, laluan pengangkutan terpantas dari Asia ke Eropah, sebaliknya, banyak kapal terpaksa mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan.
Kira-kira 12 peratus daripada penghantaran perkapalan dunia mengakses Terusan Suez melalui Laut Merah.
Isnin lalu, jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, sudah menghubungi Menteri Luar Iran. Hossein Amirabdollahian.
“Ia mengenai keadaan di Laut Merah dan Guterres mengulangi gesaannya kepada semua pihak untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang lebih teruk,” kata Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.
– REUTERS
-BeritaHarian