Kebuluran meningkat di Gaza

Estimate Reading Time: 2 minutes

MESIR: Penduduk Palestin di Gaza berdepan situasi kebuluran yang semakin memburuk, kata agensi bantuan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap-sedia untuk mengundi berhubung gencatan senjata kemanusiaan segera membabitkan konflik yang berlanjutan selama dua bulan antara Israel dan Hamas.

-Advertisement-

Ratusan lagi orang awam terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan yang menggesa gencatan senjata dilaksanakan.

Sekitar 2.3 juta penduduk Gaza diusir dari rumah mereka dan penduduk berkata, adalah mustahil untuk mencari perlindungan atau makanan di kawasan pinggir pantai yang padat dengan penduduk.

Program Makanan Sedunia PBB berkata, separuh daripada penduduk di situ berdepan kebuluran.

“Kebuluran menghantui semua orang,” kata Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNRWA) iaitu badan PBB yang bertanggungjawab ke atas pelarian Palestin menerusi platform X.

Penduduk Gaza berkata, mereka terpaksa melarikan diri berulang kali, selain berdepan kebuluran, sejuk melampau, pengeboman, kecurian membabitkan trak bantuan dan kenaikan harga mendadak.

Israel berkata, arahannya kepada penduduk di Palestin untuk berpindah adalah antara langkah diambil untuk melindungi orang awam kerana pihaknya cuba menumpaskan pejuang Hamas yang didakwa mengakibatkan 1,200 orang terkorban dan menjadikan 240 tebusan dalam serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Setakat ini, kira-kira 100 tebusan sudah dibebaskan.

-Advertisement-

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan balas Israel menyebabkan 18,205 orang maut dan hampir 50,000 lagi cedera.

Perhimpunan Agung PBB yang berkemungkinan berlangsung hari ini membabitkan 193 anggotanya bertujuan meluluskan draf resolusinya yang ditolak AS pada minggu lalu, menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan PBB kerana dianggap tidak mampan.

Resolusi Perhimpunan Agung PBB itu tidak mengikat, tetapi lebih kepada keputusan politik dan mencerminkan pandangan global.

Beberapa diplomat dan pemerhati meramalkan undian berkenaan akan mendapat sokongan lebih besar, berbanding gesaan pada perhimpunan yang berlangsung Oktober lalu untuk ‘gencatan senjata kemanusiaan segera, tahan lama dan berterusan.’

Undian itu dibuat sehari selepas 12 utusan Majlis Keselamatan melawat kawasan Mesir di sempadan Rafah yang melintasi Gaza, satu-satunya tempat di mana bantuan kemanusiaan dan bahan api terhad dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, AS tidak menghantar wakil dalam lawatan berkenaan.
– REUTERS
– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373