Kecoh gangguan mistik kerja lewat malam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bagi menampilkan kelainan daripada kebanyakan filem seram yang ada, syarikat produksi, Empire Film Solution Sdn Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd menerbitkan filem Syif Malam mengisahkan tiga kakitangan yang berdepan gangguan ketika bekerja sehingga lewat malam di pejabat.

-Advertisement-

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair, berkata idea menerbitkan filem Syif Malam timbul selepas menonton video tular yang pernah dimuat naik di saluran YouTube Awanimbus, sembilan tahun lalu.

“Menerusi video berdurasi 14 minit itu, saya lihat kandungannya cukup menarik dan menyeramkan, malah ia sudah dilayari 1.6 juta tontonan.

“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton,” katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Zubir yakin filem berkisar mengenai pekerja yang terpaksa bekerja sehingga lewat malam mampu menarik perhatian peminat seram.

“Tidak dinafikan, pasti ada segelintir yang pernah berhadapan situasi apabila diganggu ketika sedang bekerja lewat malam.

“Mungkin paparan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui oleh mereka yang mengalami situasi itu,” katanya.

-Advertisement-

Diarahkan oleh Fairus Anuar, filem Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahn Kimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi dan Ismeth Syah.

Sementara itu, Fairus berkata, Syif Malam adaptasi drama pendek yang pernah dihasilkan bersama rakan, beberapa tahun lalu dan mendapat maklum balas positif penonton.

Jelasnya, apa yang menarik mengenai naskhah berkenaan apabila ia menggabungkan elemen seram dan ‘komedi gelap’ yang jarang dipaparkan dalam mana-mana karya tempatan.

“Rasanya sudah lama tidak disajikan dengan kisah seram di tempat kerja. Latar tempat filem seram kebiasaannya akan dilakukan di rumah atau kawasan menyeramkan.

“Konsep dan naratif filem ini juga ada kelainan iaitu cerita dalam cerita, begitu juga dengan konsep suntingan serta audio yang digunakan dalam filem ini,” katanya.

Fairus berkata, filem Syif Malam adalah karya sulung dihasilkannya yang mana turut berperanan selaku penulis skrip selepas banyak menghasilkan drama pendek, dokumentari dan video muzik.

Mengulas kejadian seram sepanjang penggambaran, Fairus berkata, semuanya berjalan lancar tanpa berlaku perkara tidak diingini.

“Alhamdulillah, tiada kejadian seram berlaku sepanjang penggambaran. Saya dan kru produksi cuba mencari lokasi selamat daripada unsur mistik.

“Apapun, saya lebih pentingkan keselamatan pekerja dan tidak mahu mengambil risiko dengan memilih lokasi tidak selamat untuk elak gangguan,” katanya.

Syif Malam mengisahkan tiga sahabat, Ikmal lakonan (Taqim), Botak (Shahn) dan Mok (Anas) bekerja sebagai pereka grafik di bangunan pejabat yang mempunyai 1,001 kisah misteri dan mistik.

Pada suatu hari, mereka terpaksa bekerja larut malam menyiapkan tugasan diarahkan. Bagaimanapun, mereka sering diganggu beberapa kejadian seram.

Tidak tahan diganggu ketika bekerja, mereka memanggil kenalan yang kononnya pandai dalam hal mistik, Brotai (Ismeth).

Namun, kedatangan Brotai menjadikan keadaan semakin kecoh dan gangguan menjadi lebih ganas memandangkan dirinya kurang pengetahuan mengenai hantu.

Pada masa sama, Ayu (Zera) yang bekerja di bangunan sama cuba membantu kerana tahu Ikmal, Mok dan Botak berada dalam bahaya jika gangguan itu berterusan.

Syif Malam akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Disember.
-BeritaHarian