MADRID: Jose Mourinho tidak pernah kembali ke Santiago Bernabeu sejak meninggalkan Real Madrid pada tahun 2013, namun kepulangannya bersama Benfica bagi aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini menjadi lebih rumit daripada jangkaan.
Mourinho tidak dapat berada di tepi padang bagi aksi kedua play-off selepas dilayangkan kad merah ketika pasukannya tewas 0-1 pada perlawanan pertama di Lisbon minggu lalu.
Jurulatih berusia 63 tahun itu turut menerima kritikan susulan kenyataan kontroversinya selepas insiden dakwaan serangan rasis terhadap bintang Madrid, Vinicius Junior oleh pemain tengah Benfica, Gianluca Prestianni.
Pemain Argentina itu akan terlepas aksi kedua selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menggantungnya satu perlawanan sementara siasatan terhadap insiden berkenaan dijalankan.
Mourinho yang pernah memenangi gelaran La Liga bersama Los Blancos sepanjang tiga tahun membimbing kelab itu, meninggalkan impak besar di Madrid ketika tempoh persaingan sengit dengan Barcelona serta situasi bilik persalinan yang berpecah menyokong dan menentangnya.
Presiden Madrid, Florentino Perez diketahui meminati jurulatih Portugal itu dan khabar angin terus bertiup Mourinho mungkin dilantik musim depan bagi menggantikan Alvaro Arbeloa jika kempen semasa berakhir dengan keputusan mengecewakan.
Pengendali dari Sepanyol itu yang juga anak didik Mourinho ketika bersama juara Eropah 15 kali, kini berdepan ujian terbesar sejak menggantikan Xabi Alonso bulan lalu apabila Benfica bertandang ke ibu kota Sepanyol.
Mourinho dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama selepas membuat bantahan keras dari tepi padang.
Jurulatih itu berkata pengadil Francois Letexier mengelak melayangkan kad kepada pemain Madrid yang berdepan risiko digantung bagi aksi kedua.
-Advertisement-
“Saya sudah duduk di bangku simpanan untuk 1,400 perlawanan dan saya tahu beliau sedar siapa yang boleh dilayangkan kad dan siapa yang tidak,” kata Mourinho dengan nada kesal.
“Saya tidak akan berada di bangku simpanan, saya tidak boleh masuk ke bilik persalinan dan tidak boleh berkomunikasi dengan pasukan,” tegasnya.
“Ia sukar buat saya, tetapi rakan sepasukan dan pembantu saya ada di sana, mereka akan menjalankan tugas.”
Aksi pertama itu turut dicemari dakwaan kata-kata berunsur rasis oleh Prestianni terhadap Vinicius.
Keputusan UEFA menggantung pemain Benfica itu satu perlawanan sedikit meredakan ketegangan menjelang aksi kedua, namun dia boleh digantung sekurang-kurangnya 10 perlawanan jika badan induk bola sepak Eropah itu mendapati dia bersalah melakukan serangan rasis.
Mourinho berkata beliau sudah bercakap dengan kedua-dua pemain terbabit namun menerima versi cerita yang berbeza.
–AFP