KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung permohonan representasi Datuk Seri Najib Razak kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan semula pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM27 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, akan dibuat hari ini.
Surat representasi itu diserahkan kepada AGC lebih lima bulan lalu, iaitu pada Ogos tahun lalu.
Sepanjang tempoh menunggu keputusan mengenai perkara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy terpaksa menangguhkan perbicaraan beberapa kali.
Semasa prosiding terakhir pada 1 Disember lalu, Muniandy mengarahkan AGC memberi keputusan dalam perbicaraan hari ini.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ternyata tidak gembira dengan situasi itu apabila meminta mahkamah membenarkan anak guamnya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Dalam hujahnya, beliau berkata, pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu ‘tergantung’ selama lima setengah tahun dan disebut beberapa kali.
Pada 3 Februari 2019, Najib mendakwa dibicarkan atas tiga lagi pertuduhan berkait pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun perbankan Amprivate miliknya.
Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No.55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014, di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, selepas bersalah menyalahguna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
– BeritaHarian