Kerjasama Malaysia-China lonjak industri getah negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

SUNGAI BULOH: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneroka potensi kerjasama dengan China khususnya membabitkan teknologi berasaskan getah yang boleh digunakan secara meluas dalam industri pembinaan.

-Advertisement-

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata industri getah tempatan memiliki penyelidikan tertentu untuk diguna pakai dalam sektor pembinaan termasuk kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) telah menghasilkan teknologi padu berasaskan produk galas getah seismik.

Katanya, teknologi berkenaan direka untuk menangani pergerakan struktur disebabkan oleh perubahan suhu, atau dipasang pada struktur binaan sebagai perlindungan daripada gegaran akibat gempa bumi.

“Saya akan melaksanakan misi perdagangan ke China sebagai susulan daripada perbincangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier China, Li Qiang sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan Ahad lalu.

“Antara perkara yang akan dibawa ke sana antaranya adalah hasil produk kita berasas getah untuk diadaptasi ke atas sektor pembinaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Teknologi LGM 2023 di sini, hari ini.

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, Anwar berkata, Malaysia dan China bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian seperti minyak sawit, getah, biodiesel, durian, keterjaminan makanan dan akses kemasukan produk pertanian Malaysia ke pasaran China.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri KPK berkata, LGM dan TARRC telah berjaya menghasilkan penyelidikan dikenali NaturalIFR, di mana produk getah yang dihasilkan menggunakan sebatian NaturalIFR memiliki sifat kalis api serta rendah asap dan toksik.

Katanya, penyelidikan itu menghasilkan produk kalis api di pintu masuk beberapa stesen keretapi di United Kingdom (UK).

-Advertisement-

“Kerjasama LGM dan TARRC juga telah menghasilkan teknologi padu berasaskan produk galas getah seismik. Antara struktur di Malaysia yang dibina menggunakan galas getah seismik adalah Jambatan Kedua Pulau Pinang, bangunan Akademi Hevea Malaysia Langkawi serta bangunan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah yang dihasilkan oleh syarikat pembuat produk getah tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah menggesa supaya peserta industri getah termasuk pekebun kecil melakukan perubahan dalam aspek cara kerja.

Katanya, peserta industri berkaitan perlu mengamalkan amalan pertanian yang baik bagi meningkatkan produktiviti dan hasil berasaskan getah.

“Yang penting adalah industri, pekebun kecil dan kerajaan perlu cari kaedah untuk tingkatkan produktiviti, hasil getah tidak kira getah kering, susu getah atau produk hiliran yang mana dapat tingkatkan pendapatan negara dan rakyat,” katanya.

Selain merasmikan Hari Teknologi LGM, Fadillah turut merasmikan aplikasi PAT-G Digital yang memanfaatkan lebih 262,000 pekebun kecil getah.

PAT-G Digital yang dibangunkan LGM membolehkan agensi itu membangunkan pangkalan data pekebun kecil getah yang lebih komprehensif, memudahkan pekebun kecil membuat permohonan PAT-G, dan mempercepatkan penyaluran bantuan kerajaan secara automatik kepada pekebun kecil getah.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373