KL, Jakarta perlu kerjasama pulihara ekosistem mega Selat Melaka

Estimate Reading Time: 3 minutes

Manusia memperkenalkan konsep pengurusan wilayah berasaskan sempadan pentadbiran, bermula daripada mukim, daerah, negeri dan negara. Pendekatan begini berkesan sekiranya keupayaan tampungan alam belum dilampaui.

-Advertisement-

Bagaimanapun, isu rentas sempadan seperti bekalan air, keterjaminan makanan, pencemaran sekitaran, bencana alam semakin serius dan mulai menjejas kesejahteraan manusia pada masa kini.

Ini disebabkan sempadan proses alam berbeza dengan sempadan pentadbiran dan sukar diatasi tanpa mengambil kira proses tabii dikawal ekosistem.

Contohnya, lembangan Sungai Klang bermula dari pergunungan Titiwangsa, mengalir ke kawasan perbukitan Gombak, seterusnya lembah Kuala Lumpur dan dataran rendah Klang.

Proses alam, terutama hujan dan hakisan air bermula di kawasan hulu, manakala perlodakan serta banjir berlaku di hilir lembangan. Bencana akibat banjir dan pencemaran sungai di hilir, hanya boleh diatasi jika kita membuat kawalan di bahagian hulu lembangan.

Dalam konteks ini, Selat Melaka ialah ekosistem mega merangkumi pesisir pantai Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Suatu ketika dahulu, sungai di kedua-dua daratan ini mengalir ke lembah Selat Melaka kuno, muaranya berada di laut Andaman.

Hanya selepas zaman ais terakhir, sekitar 20,000 tahun lampau, apabila glasier mencair, paras laut naik lebih 100 meter, lembah sungai antara Semenanjung Malaysia dan Sumatera menjadi Selat Melaka.

Selat Melaka berkeluasan sekitar 65,000 kilometer (km) persegi, panjang hampir 1,000km, sempit dengan lebar hanya 150 hingga 40km dan cetek dengan purata sekitar 25 meter, adalah ekosistem alami penting bagi kedua-dua negara berjiran, Malaysia dan Indonesia.

Maklumat terbatas dari Semenanjung Malaysia umpamanya, menunjukkan ekosistem Selat Melaka sedang mengalami degradasi alam sekitar serius. Selain proses perlodakan, kemaraan pantai dan pencetekan dasar, pencemaran bahan kimia bertoksik, terutama pencemaran mikroplastik sudah pada tahap membimbangkan.

Habitat pesisir pantai banyak terjejas oleh proses pembangunan dan keupayaan habitat sebagai tapak semaian hidupan laut serta mengawal hakisan atau bencana alam juga semakin rendah.

Stok ikan di Selat Melaka berkurangan

Isi paling kritikal ialah ketersediaan sumber hidupan laut bagi penduduk untuk keterjaminan makanan. Dengan maklumat terhad, kami mengenali mengapa stok ikan di Selat Melaka berkurangan.

Antara sebab utama ialah eksploitasi sumber laut melampaui tahap maksimum, habitat tapak semaian berkurangan dan teknik perikanan yang kurang lestari menjejas populasi anak ikan.

Pada masa ini, jumlah tangkapan boleh berkurangan hingga 85 peratus dan harga ikan melambung tinggi, tidak mampu dibeli masyarakat biasa. Lebih membimbangkan ialah pencemaran bahan berbahaya mempengaruhi kualiti sumber ikan dan secara jangka panjang boleh menjejas kesihatan awam.

Kesihatan ekosistem Selat Melaka dipengaruhi dasar dan aktiviti pembangunan di pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia dan di pesisir timur Sumatera.

-Advertisement-

Oleh itu tanggungjawab menjaga kelestarian ekosistem ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan Malaysia dan Indonesia. Mekanisme pengurusan rentas sempadan lazimnya sukar diwujudkan, jarang diberikan perhatikan kerana membabitkan isu kebanggaan dan kedaulatan negara.

Dalam konteks ini, persefahaman dan strategi menang-menang perlu diwujudkan secara berhemah bagi mengatasi isu getir ini.

Pengurusan Bersepadu Ekosistem Selat Melaka boleh dilakukan pada beberapa tahap perancangan dan pelaksanaan. Ia boleh bermula pada melalui tindakan sehala, peringkat jaringan tidak formal dua hala atau sering dikenali sebagai ‘diplomasi sains’ dan tahap pengurusan formal dua hala melalui jawatankuasa bersama.

Dalam konteks tindakan sehala umpamanya, kerajaan boleh mewujudkan Pusat Kajian Ekosistem Selat Melaka bersifat kebangsaan, sementara penyelidik dalam pelbagai disiplin boleh diselaras daripada beberapa universiti tempatan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Fungsi utama pusat ini adalah mengumpul maklumat sedia ada, menjalankan sintesis, mentafsir senario semasa dan akan datang, akhirnya mencadangkan intervensi dasar serta tindakan berstrategi.

Kita boleh memperkenalkan pendekatan ‘mempengaruh’ melalui diplomasi sains. Dalam konteks ini, setiap universiti awam (UA) dan pusat penyelidikan kerajaan boleh membentuk jaringan dan jangkauan tidak formal dengan universiti serta pusat penyelidikan di Sumatera.

Aktiviti penyelidikan bersama, menganjurkan program latihan, dialog, seminar dan persidangan secara berkala boleh dilaksanakan. Aktiviti begini tidak sahaja dapat mewujudkan hubungan dua hala, mengumpul dan mentafsir maklumat, tetapi lebih penting lagi, meningkatkan kepercayaan dan membina nilai kepentingan bersama antara ahli profesional di kedua-dua negara. Diplomasi sains perlu diiktiraf sebagai dasar baharu hubungan dua hala antara negara berjiran, disokong institusi universiti dan agensi kerajaan berkaitan.

Perbincangan pemimpin tertinggi

Malaysia masih mempunyai ekosistem mega penting, sama ada merentas negeri atau negara yang perlukan perhatian. Antaranya, Ekosistem Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak, Ekosistem Banjaran Crocker dan Tanah Tinggi Sarawak, yang juga berkongsi dengan negara jiran. Usaha awal pengurusan bersepadu ekosistem ini juga boleh dimulakan.

Dalam konteks hubungan rasmi antara Malaysia dan Indonesia mengenai pengurusan bersepadu Ekosistem Selat Melaka, perbincangan pemimpin tertinggi mengenai isu kepentingan bersama sudah boleh dimulakan.

Selepas itu, sebuah jawatankuasa teknikal antara kedua-dua negara boleh diwujudkan bagi merangka pelan kerjasama ke arah kelestarian alam sekitar negara berjiran.

Jika selama ini negara berjiran banyak memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu keselamatan dan kedaulatan negara, sudah tiba masanya mereka berunding pula dalam isu kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan bersama.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373