KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 21,200 saman dengan 109 tangkapan melalui Op Perdagangan terhadap kenderaan berat dari 20 September hingga 14 November lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tindakan itu membabitkan pemeriksaan terhadap 135,193 kenderaan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, PDRM menerusi JSPT memandang serius terhadap kes kemalangan membabitkan kenderaan berat antaranya lori dan bas yang mengorbankan nyawa orang ramai yang tidak bersalah.
“Justeru, JSPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan terhadap kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan mematuhi peraturan serta undang-undang keselamatan jalan raya.
“Sebanyak 1,078 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga November ini berbanding 797 operasi untuk tempoh sama, tahun lalu. Menerusi operasi ini pelbagai kesalahan dikesan seperti membawa muatan berlebihan dan dalam keadaan fizikal tidak memuaskan yang boleh menjadi penyumbang kemalangan jalan raya,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JSPT atas beberapa kejayaan diperolehi antaranya memenangi dalam kategori Penambahbaikan di Majlis Persada Inovasi Peringkat PDRM 2023 dan meraih tempat pertama bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(JSJK) dalam pertandingan inovasi Kementerian Dalam Negeri menerusi aplikasi MyBayar PDRM.
Razarudin berkata, selain itu, JSPT berjaya melaksanakan pembekalan dokumen kemalangan meliputi keputusan kes, rajah kasar dan gambar yang boleh diakses oleh pengadu melalui aplikasi itu.
“Aplikasi ini juga memudahkan pengadu membuat tuntutan pembayaran dengan pihak insurans.
“Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JSPT kerana banyak melakukan tugas di luar skop masing-masing.
“Banyak berita dan gambar dikongsi pengguna media sosial bagaimana anggota membantu pengguna jalan raya termasuklah membersihkan longkang tersumbat,” katanya.
Beliau yakin setiap anggota melakukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan ganjaran apa-apa dalam hal itu.
“Saya juga mengingatkan warga pasukan polis terutama pegawai dan anggota bahawa segala tindak tanduk kita sama ada yang baik atau sebaliknya sentiasa berada dalam radar masyarakat.
“Untuk itu mari kita tanamkan sikap bertanggungjawab berintegriti di tahap yang baik bagi dalam keadaan apa jua,” katanya.
-BeritaHarian