Lebih 30 sungai semakin ‘nazak’

Estimate Reading Time: 4 minutes

TAMADUN manusia bermula di lembah sungai disebabkan kesuburan tanah di tapak itu mampu merancakkan pertanian dan penempatan manusia.

-Advertisement-

Sebagai contoh, tamadun Mesopotamia bermula di Lembah Sungai Euphrates manakala tamadun Mesir Purba di Lembah Sungai Nil dan tamadun Mesopotamia di Lembah Sungai Euphrates, manakala tamadun Mesir Purba di Lembah Sungai Nil.

Di negara ini, tamadun Sungai Batu menjadi sumber sejarah penting bagi Kedah Tua, iaitu menjadi tapak arkeologi pelabuhan kuno yang dipercayai bermula di negeri itu

dan dicatatkan sebagai tamadun tertua di Semenanjung (sebagai peleburan besi, pelabuhan kapal dagangan dan pentadbiran pelabuhan kuno.

Dengan peralihan abad demi abad, kebanyakan sungai mempunyai fungsi yang tersendiri dalam sistem pengangkutan dan sumber air yang menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti kehidupan manusia.

Malangnya, sungai yang berhampiran penempatan manusia dan kawasan perindustrian pula dilihat semakin nazak dan membimbangkan dengan lebih 30 sungai di Malaysia sudah diklasifikasikan sebagai Kelas Tiga, Kelas Empat dan Kelas Lima berikutan tercemar berpunca daripada pelbagai aktiviti industri, kumbahan, penternakan serta sikap membuang sampah-sarap.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 menyatakan, Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan ialah paling tercemar, iaitu berada di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan.

Sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat pula, antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

86 tan metrik sampah dikutip di Selangor

Pakar Hidraulik dan Permodenan Air, Ir Muhammad Ilyas Ahmad Jamalluddin, berkata pencemaran sungai bukan perkara baharu dan menjadi tajuk utama dalam arus permodenan dunia, namun ia sering kali dipandang remeh khususnya pihak bertanggungjawab.

Katanya, saban tahun Malaysia juga terus dikejutkan dengan pelbagai cerita yang membuktikan sungai-sungai negara semakin diancam dengan pencemaran, baik dari aspek kualiti air akibat pencemaran tumpahan minyak, sisa toksik, bau serta sampah-sarap yang dibuang oleh masyarakat.

Sungai menjadi mangsa kerakusan segelintir manusia yang mementingkan diri.

“Pencemaran demi pencemaran terhadap sungai ini meninggalkan kesan besar kepada seluruh masyarakat yang mendiami sesuatu kawasan.

“Sebagai contoh akibat tumpahan bahan pencemar di Sungai Selangor beberapa tahun lalu menyebabkan berlakunya penghentian tugas tidak berjadual loji rawatan air yang menjejaskan bekalan air kepada lebih sejuta akaun rumah.

“Sikap masyarakat yang memandang sungai sebagai sebahagian daripada sistem saliran buangan juga menjejaskan kesihatan sungai itu sendiri.

“Sampah-sarap dibuang sewenang-wenangnya ke dalam sungai tanpa rasa bersalah.

“Di Sungai Klang sahaja yang menjadi sungai utama di Lembah Klang, hasil sampah berjaya dikutip pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor yang menguruskan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) di hiliran Sungai Klang adalah sebanyak 86 tan metrik sejak 2016 hingga kini.

Jumlah itu sesuatu yang perlu dirungsingkan oleh semua pihak,” katanya kepada BH.

Jaga kelestarian sungai

Muhammad Ilyas yang juga Ketua Jabatan Hidrologi dan Hidraulik Jurutera Perunding, dalam mengatasi masalah yang sering terjadi di lembangan sungai, pihak berkuasa hari ini melakukan pelbagai program untuk mengatasi isu seperti kecukupan air, banjir, kualiti air sungai dan persekitaran.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antaranya melaksanakan kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) di lembangan sungai-sungai utama dan terpilih bagi mengatasi isu berkaitan bagi tempoh dua hingga 10 tahun.

“Semua isu-isu berkaitan sungai perlu di atasi dengan tindakan yang bersesuaian bagi jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Oleh itu, Pelan Pengurusan Lembangan Bersepadu ini juga wajar diangkat sebagai rujukan utama sebelum merangka pembangunan di sesuatu daerah seperti Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Struktur Negeri (RSN) bagi tempoh tertentu oleh kerana sempadan lembangan sungai lebih penting dijadikan sebagai asas kepada pembangunan di dalam sesuatu daerah,” katanya.

Tambah beliau, JPS ketika ini juga melaksanakan inisiatif seperti Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang bertujuan bagi mengawal pencemaran dan kelestarian sungai itu sendiri.

“Program ini menjadikan sesebuah sungai itu mudah diakses orang ramai yang seterusnya akan menjadi mata-mata bagi mengelakkan berlakunya pembuangan bahan-bahan pencemar ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menjaga kelestarian sungai.

“Tahun ini, dianggarkan denai sungai yang dibina membabitkan 1,000 kilometer (km) dan meningkat sehingga 10,000 km menjelang 2030,” katanya.

Sungai untuk kehidupan manusia sejagat

Mengenai aspek penjagaan sungai negara, Muhammad Ilyas berkata, ia tidak hanya terletak di bahu jabatan kerajaan, sebaliknya tanggungjawab semua pihak termasuk dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak perlu tahu mengenai definisi sungai yang bukan sekadar satu tali air semula jadi bersumber daripada tasik, mata air ataupun anak-anak sungai yang mengalir menuruni bukit serta tanah-pamah sehingga ke laut.

“Kita harus memahami semua makhluk yang berada di muka bumi daripada manusia, haiwan dan tumbuhan memerlukan sungai sebagai satu sumber untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Malah, sungai penting kerana ia juga mempunyai kekayaan ekosistem yang pelbagai dan menjadi tunjang kepada kehidupan manusia sejagat.

“Untuk itu, kita harus selalu beringat bahawa kita memerlukan sungai di dalam kehidupan seperti mana air yang diminum setiap hari adalah bersumberkan air sungai yang kemudiannya dirawat di loji rawatan air sebelum dibekalkan kepada pengguna.

“Selain itu, nasi yang dimakan seharian juga jika tiada pengairan tali air ke sawah padi yang bersumberkan air sungai, kemungkinan kita tidak mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dari aspek tenaga, sumber tenaga elektrik yang dinikmati kita pada hari ini sebahagiannya adalah dihasilkan daripada tenaga hidroelektrik membabitkan aliran air sungai,” katanya,” katanya.

Info

Air sungai negara mengikut kelas berdasar Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020

Kelas 5 (keadaan sungai yang tercemar teruk)

-Advertisement-

* Sungai Rambai (Selangor/Negeri Sembilan)

Kelas 4 (hanya untuk tujuan pengairan)

* Sungai Jawi (Pulau Pinang)

* Sungai Rambai (Pulau Pinang)

* Sungai Punggur (Melaka)

* Sungai Merlimau (melaka

* Sungai Temehel (Johor)

* Sungai Danga (Johor)

* Sungai Buluh (Johor)

* Sungai Perembi (Johor)

* Sungai Tukang Batu (Johor)

* Sungai Kempas (Johor)

* Sungai Ayer Merah (Johor)

* Sungai Bala (Johor)

* Sungai Pandan (Johor)

* Sungai Sebulung (Johor)

* Sungai Sengkuang (Johor)

* Sungai Tampoi (Johor)

Kelas 3 (yang memerlukan rawatan intensif)

* Sungai Chempedak (Pulau Pinang)

* Sungai Tengah (Pulau Pinang)

* Sungai Permatang Rawa (Pulau Pinang)

* Sungai Air Melintas (Pulau Pinang/Kedah)

* Sungai Kereh (Pulau Pinang/Kedah)

* Sungai Bakar Arang (Kedah)

* Sungai Air Busuk (Kedah)

* Sungai Kerayong (Kedah)

* Sungai Tuang (Negeri Sembilan/Melaka)

* Sungai Panchor (Johor)

* Sungai Semberong (Johor)

* Sungai Simpang Kanan (Johor)

* Sungai Sanglang (Johor)

* Sungai Plentong (Johor)

* Sungai Tebrau (Johor)

* Sungai Sarang Buaya (Johor/Negeri Sembilan/Pahang)

* Indeks Kualiti Air Sungai (WQI) adalah standard yang diguna pakai untuk menentukan status kualiti air sungai yang ditentukan melalui pengujian makmal ke atas sampel air sungai secara berkala daripada Jabatan Alam Sekitar.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373