GUA MUSANG: Impian untuk memiliki rumah yang selesa demi kesejahteraan anak-anak adalah harapan setiap ibu bapa, namun bagi sebuah keluarga di Kampung Lepan Jaya di sini, mereka sekadar mampu berteduh di sebuah rumah kecil tanpa bilik tidur dan ruang dapur.
-Advertisement-
Kediaman yang menempatkan pasangan suami isteri bersama tiga anak itu dibina di atas tanah milik sendiri menggunakan kayu serta zink terpakai yang kini semakin uzur dan mereput dimakan usia.
Menurut Nurul Mazlina Mohd Nor, 32, dia, suaminya Mohd Sahru Azman, 38, serta tiga anak mereka yang masing-masing berusia tiga minggu, lima dan lapan tahun telah menetap di rumah berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.
Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa termasuk membuat permohonan kepada beberapa jabatan berkaitan, namun sehingga kini belum menerima sebarang kelulusan.
“Sebelum ini kami hanya tinggal menyewa. Kami juga pernah membuat permohonan untuk mendirikan rumah di atas tanah sendiri selain memohon membaiki rumah, namun mungkin bukan rezeki kami atau ada yang lebih layak dari kami.”
“Rumah ini pun dibina dengan menggunakan kayu dan zink terpakai sejak lebih tiga tahun lalu oleh suami dan rumah inilah dijadikan tempat berteduh untuk kami lima beranak.”
“Rumah ini tidak mempunyai bilik dan ruangan dapur, jadi kami lima beranak tidur bersama di ruang tamu hanya beralaskan tilam,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya, di sini.
-Advertisement-
Nurul Mazlina yang kini sedang berpantang selepas melahirkan anak ketiga berkata, pendapatan suaminya yang melakukan kerja-kerja kampung hanya cukup untuk menampung keperluan harian keluarga.
Bagi membantu menambah pendapatan, katanya, dia turut berusaha menanam pokok lada di sekitar rumah sebelum bersalin.
“Dengan pendapatan suami yang hanya melakukan kerja-kerja kampung gaji yang diperoleh sekadar cukup makan untuk kami lima beranak. Bagi membina rumah yang selesa untuk anak-anak kami tak mampu.”
“Sebelum ini ada jabatan yang datang untuk melihat keadaan rumah kami, namun sehingga kini tiada kata putus.”
“Saya sangat berbesar hati sekiranya ada pihak sama ada agensi kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sudi membina atau memberi sumbangan bahan binaan bagi membaiki rumah kami ini,” katanya.
-BeritaHarian