Bantuan sewaan rumah mangsa kebakaran paip gas Putra Heights disambung hingga Mac 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 kepada 67 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah, berkata keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Bilangan 3/2026 yang berlangsung pada Rabu lalu, susulan penilaian terkini serta lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Menurut beliau, daripada 123 KIR yang menerima bantuan pada fasa ketiga sebelum ini, seramai 67 KIR dikenal pasti layak untuk meneruskan bantuan, manakala 56 KIR tidak lagi menerima bantuan berdasarkan penilaian semasa dan pematuhan kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

“Hasil penilaian mendapati masih ada mangsa yang belum dapat kembali mendiami rumah masing-masing berikutan faktor keselamatan, status kerja pembinaan serta isu dokumentasi pemilikan tanah.

“Oleh itu, bagi fasa keempat ini, bantuan sewa akan diteruskan kepada 67 KIR, merangkumi 65 KIR yang kediamannya masih menjalani proses pembaikan dan dua KIR yang rumahnya belum dapat dibina akibat masalah dokumentasi pemilikan tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan sewa tidak lagi diberikan kepada mangsa yang kediamannya telah siap dibaik pulih dan disahkan selamat untuk diduduki, selain kes yang melibatkan keengganan pemilik membenarkan kerja pembaikan dijalankan.

-Advertisement-

“Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan mangsa dipelihara secara berfokus, berhemah dan berlandaskan penilaian di lapangan sehingga keadaan benar-benar pulih dan selamat,” katanya.

Sebagai rekod, pada fasa pertama (April hingga Jun 2025), seramai 365 KIR menerima bantuan sewaan rumah sementara dengan peruntukan berjumlah RM2.19 juta. Fasa kedua (Julai hingga September 2025) melibatkan 144 KIR dengan jumlah RM864,000, manakala fasa ketiga (Oktober hingga Disember 2025) membabitkan 123 KIR dengan peruntukan keseluruhan RM738,000.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada jam 8.10 pagi, 1 April tahun lalu menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-BeritaHarian