Malaysia belum bersedia beri sokongan awal kepada cadangan Lembaga Keamanan AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANGI: Malaysia masih belum dapat memberikan sokongan awal terhadap penubuhan Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan konflik di Gaza, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

-Advertisement-

Beliau berkata, sehingga kini belum terdapat jaminan yang jelas dan meyakinkan berkaitan masa depan rakyat Gaza dan Palestin di bawah penubuhan lembaga berkenaan, selain sekadar usaha menghentikan keganasan di wilayah itu.

“Pendirian kita ketika ini agak sukar selagi tiada jaminan yang benar-benar kukuh dan tegas mengenai nasib rakyat Gaza dan Palestin, termasuk pengiktirafan hak mereka, pemberhentian sepenuhnya serangan ganas oleh rejim Israel serta pemulihan bantuan kemanusiaan. Semua ini masih belum dilaksanakan.

“Oleh itu, Malaysia belum dapat memberikan sokongan awal,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Semalam, Trump secara rasmi mengumumkan pelancaran Lembaga Keamanan tersebut dan memaklumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menangani bukan sahaja krisis di Semenanjung Gaza, malah isu lain di luar kawasan itu, menurut laporan Anadolu Ajansi.

-Advertisement-

Menurut Trump, Amerika Syarikat komited untuk memastikan Gaza bebas daripada kehadiran ketenteraan serta ditadbir dan dibangunkan dengan lebih baik. Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai satu perancangan besar dan menegaskan bahawa kejayaan di Gaza akan membuka ruang untuk menangani isu lain pada masa hadapan.

Beliau turut menyatakan bahawa selepas lembaga tersebut dibentuk sepenuhnya, pelbagai langkah lain boleh diambil secara bersama dengan PBB.

Difahamkan, wakil daripada beberapa negara telah menandatangani dokumen asas penubuhan organisasi berkenaan. Namun begitu, maklumat terperinci mengenai mandat serta piagam Lembaga Keamanan tersebut masih belum diumumkan.

-BeritaHarian