KUALA LUMPUR: Kedudukan daya saing Malaysia di peringkat global melonjak kepada ranking ke-25 daripada 64 ekonomi dalam World Competitiveness Yearbook 2021, berbanding tangga ke-27 tahun lalu.
-Advertisement-
Menteri Kanan Perdagangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pencapaian itu memerlukan peraturan yang menyokong kerangka operasi yang koheren bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk membolehkan syarikat beroperasi lebih produktif dan berdaya saing.
“Kita menekankan agenda pembaharuan peraturan ke tahap baharu yang lebih baik dari aspek penyampaian peraturan dan penggubal dasar bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan peluang di pasaran global.
“Bagi mencapai inisiatif ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak perlu kepada perniagaan baharu dan sedia ada,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Produktiviti 2021, Memacu Produktiviti: ‘Reset, Reform, Rebound’ secara maya hari ini.
Yang turut serta, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong; Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali; dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.
Azmin yang juga Menteri MITI berkata, pertumbuhan mampan produktiviti bergantung kepada beberapa aspek iaitu modal yang produktif, pekerja dan persekitaran tempat kerja, sekali gus menuntut pembentukan semula persekitaran pekerjaan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Katanya, Aspirasi Pelaburan nasional (NIA) dijangka memacu ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan destinasi utama untuk industri berteknologi dan berimpak tinggi.
“Malaysia berada pada kedudukan kedua daripada 190 ekonomi dalam World Bank’s Ease of Doing Business 2020 membabitkan permit pembinaan. Walaupun ini menunjukkan bahawa pembaharuan inisiatif sedang berjalan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan peraturan kita pantas untuk bertindak balas terhadap perubahan,” katanya.
Sementara itu, dalam Laporan Produktiviti 2021, MPC menetapkan trajektori positif bagi pemulihan dengan jangkaan prestasi produktiviti meningkat antara dua hingga tiga peratus tahun ini.
Menurut MPC, sasaran itu bakal dipacu oleh tahap keyakinan, penggunaan dan perniagaan yang semakin pulih secara beransur-ansur disokong pelaksanaan pelan vaksinasi yang terus berjalan.
-Advertisement-
“Inisiatif kerajaan mengurangkan impak pandemik terus dilaksanakan dan diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat dan komuniti perniagaan.
“Pakej rangsangan seperti Program Strategik Memperkasa
Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan kempen vaksinasi dilaksanakan untuk melonjak ekonomi.
“Pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) diharap dapat menjadi pemangkin pemulihan ekonomi menerusi penerapan dan penggunaan teknologi digital, mendorong Malaysia ke arah yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Menurut laporan MPC, MyDIGITAL diaspirasikan menjadikan Malaysia menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan tampil sebagai negara pengeksport teknologi tempatan dan penyelesaian digital.
“Perjalanan pemulihan Malaysia dapat ditingkatkan dengan memberi tumpuan kepada lima pemacu utama pertumbuhan produktiviti seperti yang dibayangkan dan diperincikan dalam Pelan Produktiviti Malaysia (MPB).
“Bakat, Teknologi, Insentif, Persekitaran Perniagaan, dan Pemikiran Produktiviti adalah pemacu utama untuk meningkatkan produktiviti di tengah kesan akibat pandemik,” katanya.
MPC menjelaskan, penyelidikan mendalam terhadap pemacu utama terbabit dilakukan berdasarkan persekitaran ekonomi global dan domestik ketika ini.
Katanya, ia juga dilaksanakan berlandaskan isu dan cabaran kritikal yang membuka jalan yang lebih jelas untuk penyelesaian dan cadangan yang dapat dilaksanakan untuk memberi kesan langsung kepada negara.
“Pencapaian pantas dan penyelesaian jangka panjang berdasarkan pemacu utama dapat dirumuskan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat dan lebih baik,” katanya.-BH