Beliau berkata, ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 38 peratus kepada 50 peratus menjelang 2030.

“PKS adalah komponen penting ekonomi tempatan dan menyumbang 38.3 peratus kepada KDNK negara pada 2018, mencerminkan kepentingan mereka sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa ini, kira-kira 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia atau lebih 900,000 adalah didorong oleh PKS dan daripada jumlah itu, kira-kira 13 peratus bertapak di Malaysia Timur,” kata beliau dalam ucapannya di majlis seminar Membina Kapasiti dan Keupayaan di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Ini kata beliau, jelas menunjukkan bahawa Sabah, Sarawak serta Labuan merupakan lokasi berpotensi tinggi untuk pembangunan PKS dan berharap seminar itu akan menjadi sebuah platform untuk memacu pertumbuhan selanjutnya di rantau ini.

Maybank telah secara aktif menyokong PKS di negeri itu dengan pemberian kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat dan akan terus berbuat demikian.

“Daripada aspek portfolio pinjaman PKS Maybank pada masa ini, lebih RM1 bilion kemudahan pinjaman telah diberikan kepada PKS di Sabah. Kami berharap ini dapat berkembang sebanyak 19 peratus tahun ini.”

Seminar itu merangkumi pelbagai tajuk termasuk sesi Literasi Kewangan untuk membantu PKS mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai pengurusan kewangan, keperluan bank untuk aplikasi pembiayaan perniagaan serta penyelesaian kewangan menyeluruh untuk membantu meringankan operasi perniagaan PKS terutamanya untuk pembayaran gaji, pengurusan tunai, bayaran bil, bayaran pukal kepada vendor dan transaksi tanpa tunai melalui QRPay.

Peserta juga belajar tentang risiko am yang dihadapi oleh pemilik perniagaan dan penyelesaian perlindungan sedia ada untuk melindungi perniagaan, aset dan pekerja mereka. – UTUSAN ONLINE