Ops Khas Motosikal: 14,527 notis kesalahan warga asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 14,527 notis kepada pemandu warga asing sepanjang 20 hari Operasi Khas Motosikal bermula 1 September lalu.

-Advertisement-

Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan, berkata tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh merekodkan kesalahan tertinggi.

Menurut beliau, sepanjang 20 hari operasi dijalankan di seluruh negara itu, kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu dengan 6,268 notis dikeluarkan atas kesalahan itu.

“Untuk kesalahan tiada perlindungan insurans, kita mengeluarkan 2,667 notis manakala kesalahan LKM tamat tempoh, sebanyak 2,657 notis dikeluarkan serta 1,948 notis atas lain-lain kesalahan teknikal.

“Kita memandang berat isu pemandu warga asing yang tiada lesen memandu dan insurans ini kerana mereka tidak memahami mengenai undang-undang jalan raya di negara kita,” katanya pada Operasi Bersepadu

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di bawah Stesen LRT Bangsar, Jalan Bangsar di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail dan Timbalan Pengarah (Penguat Kuasa) JPJ Malaysia, Dr Azmi Awang.

Tambah beliau, kewujudan pemandu warga asing membawa kenderaan di jalan raya secara haram ini jelas menjadi satu risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, pihak JPJ bersama agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen mengkhususkan tindakan ke atas mereka bagi membendung perkara ini yang semakin berleluasa.

“Kita mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan mereka selain dan menyerahkan (pemandu warga asing yang diperiksa) kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mengulas operasi malam tadi, Lokman berkata operasi bermula pada jam 8 malam dengan kekuatan 100 anggota terdiri daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Imigresen.

-Advertisement-

Sepanjang operasi yang berakhir tengah malam tadi itu, katanya sebanyak 1,459 kenderaan diperiksa dengan 865 daripadanya adalah motosikal selain kereta, kenderaan perkhidmatan awam serta kenderaan barangan dengan 443 daripadanya diambil tindakan.

“Sebanyak 854 notis dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu (327), LKM tamat tempoh (143), insurans tamat tempoh (123) kesalahan cermin gelap (98) dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (80).

“Kesalahan lain termasuk ubah suai ekzos (23), memasang lampu High Intensity Discharged (HID) (empat), kesalahan teknikal (36) dan lain-lain kesalahan (37),” katanya.

Selain itu, katanya JPJ turut menyita 35 kenderaan termasuk 17 motosikal ditunggang warga asing yang tiada lesen memandu, insurans serta cukai jalan.

Seramai 31 warga asing termasuk tiga wanita diperiksa oleh pihak Jabatan Imigresen terdiri daripada warga Bangladesh (15), India (empat), Indonesia (lima), Pakistan (tiga) dan masing-masing satu warga Palestin, Afghanistan, Filipina dan Myanmar.

Menurut Lokman, pihaknya kecewa dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang masih mengabaikan peraturan dengan mengambil mudah hal lesen memandu, insurans dan cukai jalan walaupun pihak JPJ kerap menjalankan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, katanya seorang pemandu mabuk ditahan pada operasi malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) diarahkan berhenti selepas

dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota JPST.

Hasil ujian pernafasan awal menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) mendapati paras alkohol dalam tubuhnya melebihi paras dibenarkan.
-BeritaHarian