KUALA LUMPUR: Kecenderungan mengetengahkan pelbagai cerita berunsur negatif, lucah atau kandungan ‘sampah’ dan mengajak masyarakat terbabit dalam aktiviti tidak bermoral semakin membimbangkan.
Manakan tidak ia ibarat api dalam sekam, jika tidak dibendung menjadi berbahaya terhadap sahsiah dan pemikiran rakyat.
Bagi pemepengaruh dan usahawan, Izzlin Azhar atau lebih mesra dengan panggilan nama Kak Lin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Mamamuda, menegaskan pelbagai pihak tidak seharusnya ‘menutup mata’ tanpa sebarang tidak sewajarnya berkaitan isu terbabit.
“Paparan dan perkongsian video sesuka hati berkaitan pelbagai isu di media sosial ini sekali gus memberi impak positif dan negatif kepada masyarakat. Ia juga memberi gambaran tahap pemikiran dan kecenderungan masyarakat.
“Justeru, sebagai pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu pengikut, saya melihat perkara ini dari sudut yang amat serius.
“Apa juga bahan kita dikongsikan khususnya jalan cerita dalam setiap video yang diterbitkan di media sosial wajar mengikut garis panduan undang-undang dan norma masyarakat.
“Contohnya, untuk pengisian paparan yang saya sendiri muatnaik lazimnya plot mengenai kehidupan seharian. Saya paparkan dalam media sosial dengan mengetengahkan berlandaskan cerita sebenar daripada kehidupan harian masyarakat di Malaysia. Ia lebih dekat dan mudah difahami oleh mereka yang menonton video itu.
“Kita perlu lebih berhati-hati dalam semua aspek. Sebelum penggambaran dimulakan, saya dan pasukan penerbitan syarikat akan membuat sesi percambahan fikiran bagi mengenal pasti tema cerita setiap video.
“Ceritanya mestilah ringan, mempunyai nilai-nilai positif dan lakonan bersahaja yang terdiri daripada pemegang watak utamanya saya sendiri yang kadang-kadang menjadi ibu, kakak, anak dan usahawan.
“Sebagai pemegang watak utama, saya akan pastikan watak-watak lain tidak tenggelam dengan kehadiran watak saya yang lebih dominan,” katanya.
Proses praproduksi, produksi dan pasca-produksi mengambil masa hampir tiga hari bagi setiap satu video diterbitkan. Jika di peringkat awal penerbitan video di Facebook, Instagram dan TikTok, pelbagai masalah terjadi penerbitan berlaku sehingga menyebabkan kami membuat penggambaran semula bagi babak tertentu, selain perlu menukar jalan cerita serta membuat perubahan watak setiap pelakon.
“Alhamdulillah dengan usaha konsisten ia berjaya mencuri tumpuan khalayak sehingga mendapat jutaan jumlah tontonan dan tanda suka. Lebih mengesankan.
“Apabila kami berada di tempat awam seperti pusat beli belah, ada pengikut saya yang datang menegur kami, bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak berusia lima tahun pun mengenali saya.
“Sebab itu, ingin Kak Lin tekankan setiap kandungan video media sosial yang ingin kita kongsikan mestilah mempunyai matlamat penerbitan yang mempunyai nilai-nilai moral yang baik. Secara langsung dan tidak langsung ia dapat membina akhlak dan sahsiah rakyat Malaysia yang lebih sentiasa positif,” katanya yang juga melakonkan watak berkenaan bersama kakitangannya.
Justeru, katanya, apa sahaja bahan dikongsi terutama dalam kalangan pempengaruh boleh mempengaruhi khalayak.
Ada berkongsi kandungan video kurang sopan
Jika ia berbentuk positif ia adalah sangat digalakkan, namun ada pempengaruh yang mengambil kesempatan berkongsi kandungan video yang kurang sopan, cenderung untuk menghentam dan memfitnah pihak lain (politik) dan lebih malang ada yang melanggar tidak sahaja batas agama, malah budaya dan undang-undang di negara ini.
“Jadi penting, setiap pempengaruh mempunyai sikap ‘menapis’ setiap video yang ingin dikongsikan agar sesuai dengan keperluan masyarakat di negara ini,” katanya memaparkan penerbitan video bertemakan ‘rupa paras bukan ukuran’ yang dikongsikannya di TikTok (@izzlin_azhar) mendapat lebih enam juta tontonan, manakala tema ‘suami tidak bertanggungjawab” mendapat hampir lima juta tontonan.
Selain itu, turut memaparkan mengenai isu buli pekerja, ibu mentua cerewet, adik-beradik mementingkan diri sendiri, anak derhaka, pecah amanah dan wanita tonggak keluarga.
-BeritaHarian