NEW YORK: Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin semalam turun ke jalan dan melakukan ‘perarakan jenazah’ dalam satu demonstrasi menentang pengeboman secara berterusan Israel di Gaza.
Aktivis itu berkumpul di Taman Bryant Manhattan sambil memegang sepanduk menuntut gencatan senjata manakala beberapa orang berdiri di tengah-tengah Sixth Avenue yang sibuk di daerah Midtown New York.
Beberapa wanita membalut puluhan patung bayi dengan kain putih sebagai simbolik pertempuran itu yang turut mengorbankan kanak-kanak.
‘Perarakan jenazah’ secara olok-olok itu menuju ke Times Square iaitu kawasan ikonik New York dan ia turut dimeriahkan oleh iklan elektronik gergasi sebagai latar belakang.
“Tindakan hari ini adalah untuk menarik perhatian bahawa setakat ini, hampir 10,000 kanak-kanak terkorban dan jumlah itu hanya kanak-kanak sahaja, tidak termasuk golongan lain penduduk Palestin yang dibunuh di Gaza,” kata arkivis Grace Lile, 64.
Peperangan itu, yang bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, kini sudah memusnahkan sebahagian besar Gaza, dan pengeboman serta pertempuran semakin rancak terutama di bandar selatan Khan Yunis.
Israel berikrar untuk memusnahkan pejuang Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober, yang menyebabkan kira-kira 1,140 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.
Serangan balas dan pengeboman udara tanpa henti Israel serta pencerobohan darat setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 21,320 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Bandar New York sudah menyaksikan puluhan protes dilakukan sejak serangan itu diadakan dengan kedua-dua penunjuk perasaan membabitkan pro-Palestin dan pro-Israel turun ke jalanan
– AFP
– BeritaHarian