Pesta buku tetap ditunggu di sebalik gelombang digital

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kontroversi Pesta Buku Frankfurt diboikot banyak negara termasuk Malaysia ekoran kenyataan kontroversi Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juergen Boos menyatakan sokongan terbuka kepada Israel pasti masih terasa.

-Advertisement-

Tahun sebelumnya, pesta buku menerima tempias Perang Russia-Ukraine mengakibatkan larangan penyertaan penerbit dan buku tajaan Russia dipamerkan, manakala dua tahun pandemik menyaksikan banyak acara diadakan secara dalam talian atau saiz kecil.

Namun, penganjuran pesta buku pada tahun ini bermula dengan lebih baik di negara ini apabila Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) di Pasar Seni, Kuala Lumpur menghimpunkan 49 pempamer buku mencatatkan kejayaan.

Pada awal penganjurannya pada 2008, pesta buku itu menghimpunkan penerbit ‘hiliran’ menyasarkan pembaca dalam kalangan generasi muda tetapi rupa-rupanya pengunjung ketika itu masih lagi membaca buku secara fizikal hingga kini kerana tetap mengunjungi KLAB.

Hakikatnya, setiap pesta buku mempunyai segmen perniagaan dan pelanggan berbeza umpamanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan Bookfest @Malaysia mempunyai pemetakan pasaran berlainan walaupun sasaran pengunjungnya ialah rakyat Malaysia.

Pesta Buku Frankfurt pula menjadi pesta buku perdagangan antarabangsa terbesar, manakala London memposisikannya sebagai pameran pesta buku musim bunga terbesar; Bologna (buku dan sastera kanak-kanak); BookExpo America (pasaran utama penerbit Amerika Syarikat); Liber di Sepanyol dan Guadalajara di Mexico (pameran hak cipta bahasa Sepanyol); Beijing, Hong Kong dan Taiwan pula memperdagangkan hak cipta terpenting untuk pasaran China serta Moscow untuk penerbitan Russia.

Abu Dhabi, Sharjah dan Dubai pula semakin berkembang menjadi hab hak cipta dunia, sedangkan Kaherah dan Tehran menjadi pesta buku awam terbesar di Asia Barat, manakala Bangkok, Calcutta serta Delhi menggamit jutaan pengunjung.

Pesta buku jadi penghubung

Hakikatnya, pesta buku sudah menjadi acara antarabangsa. Melaluinya, sesebuah kota raya menjadi penghubung dalam jaringan penerbitan global dan kalendar tahunan. John L Flood dalam buku The History of the Book in the West: 1455–1700 menyatakan persaingan antara pesta buku, seperti wujud pada Zaman Pertengahan, masih berlaku hingga kini.

Arjun Appadurai dalam buku The Social Life of Things menyatakan semua pesta buku di atas menepati kriteria ‘kejohanan bernilai’ apabila menjelaskan “Acara sebegini bukan sekadar meraih status, pangkat atau populariti, namun lebih kepada pembahagian ‘nilai utama’ dalam masyarakat.

“Walaupun acara ini berlaku pada masa dan tempat istimewa, ia memberikan kesan kepada kehidupan seharian kita, terutama dari segi kuasa dan nilai dipegang,” tulisnya.

-Advertisement-

Jadi apakah yang berlaku di pesta buku dan mengapakah orang berpusu-pusu mengunjunginya? Apakah jenis aktiviti disertai hingga menjadikan pesta buku sebagai ‘kejohanan bernilai’?

Semua maklum pesta buku menyediakan persekitaran begitu fleksibel, kos efektif (objektif jualan dan pemasaran boleh dicapai), penjenamaan imej, dan proses penilaian produk pesaing kepada kepada pempamer dan pengunjung.

Paling penting, pesta buku memberikan peluang pengunjung bertemu secara bersemuka, sekali gus menjalin dan membina hubungan pelanggan.

Di sinilah keistimewaan buku dan pesta buku itu. Ahli antropologi ekonomi sudah lama mengagumi bagaimana objek material (buku) dipenuhi kualiti yang nilainya tidak dapat dikurangkan kepada keperluan material ataupun setara dengan wang ringgit.

Walaupun ada pihak menjangkakan kaedah pembacaan buku akan beralih kepada digital, buku masih terus dicetak. Meskipun banyak perniagaan dijalankan secara dalam talian, pesta buku fizikal masih dinanti-nantikan penerbit dan pembaca.

Ini tentu berkait dengan apa dinyatakan Lewis Hyde dalam The Gift: Imagination and the Erotic Life of Property mencirikan empat jenis sumber bidang penerbitan, iaitu modal ekonomi; modal sosial (manusia); modal simbolik dan modal intelek dicipta, dipertaruhkan, serta dikekalkan di pesta buku.

Hubungan sosial utuh fungsi penting pesta buku. Begitu juga dimensi simbolik lokasi pesta buku, susun atur, saiz dan promosi perniagaan disebarluaskan melalui saluran formal atau tidak formal.

Seterusnya penerbit bijak akan menghidangkan aset intelektual (atau kreativiti) penulis mereka sebagai transaksi perniagaan. Semua ini gabungan nilai sosial, simbolik dan kreatif (atau intelek) yang kemudian menjana ‘nilai’ tidak ternilai harganya atau nilai ekonomi.

Jelas pesta buku ialah ‘kejohanan nilai’ kerana acara berkala itu diadakan di lokasi istimewa dengan peragaan khas dan pada masa hampir tetap setiap tahun. Setiap penerbit di pesta buku seantero dunia mempunyai rasa kekitaan walaupun datang dari rumah berbeza.

Ini mengekalkan rasa kekitaan dalam kalangan pempamer hingga industri penerbitan ditakrifkan sebagai komuniti mesra dari kaca mata pembaca. Bak kata bekas Pengarah BookExpo America, Steven Rosato ketika ditanya strategi meningkatkan pengunjung ke pesta buku kendaliannya: “Jangan menggigit lebih daripada apa yang anda boleh kunyah, mencari rakan kongsi adalah lebih penting.”

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan Institut Maritim Malaysia
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427