KOUROU, Guyana Perancis: Roket baharu milik Eropah, Ariane 6 berjaya berlepas buat pertama kalinya di sini, petang semalam, untuk pelepasan beberapa satelit ke orbit dan sekali gus mengembalikan capaian bebas benua itu ke atas angkasa lepas.
Eropah sebelum ini berdepan beberapa kekecewaan termasuk kelewatan penghasilan Ariane 6 selama empat tahun, mengakibatkan ia gagal melancarkan misi ke angkasa lepas tahun lalu.
Namun, Ketua Agensi Angkas Lepas Eropah, Josef Aschbacher, komited untuk memandang jauh ke depan selepas kejayaan penerbangan sulung roket paling berkuasa benua itu setakat ini.
“Ini adalah hari bersejarah bagi Eropah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Agensi Angkasa Lepas CNES Perancis, Philippe Baptiste, berkata ‘Eropah sudah kembali’.
Ariane 6 dilancarkan dari pusat angkasa Eropah di sini pada jam 4 petang (waktu tempatan).
Pelancaran itu ditunda selama sejam susulan masalah kecil yang dikenal pasti pada sebelah pagi.
Kru di bilik kawalan Jupiter yang letaknya 17 kilometer dari tapak pelancaran dilihat tenang pada peringkat awal proses berkenaan.
Ketua Operasi, Raymond Boyce kemudian mengumumkan ‘propulsion nominal’, bermaksud pelancaran berjalan seperti dirancang, diikuti tepukan gemuruh.
Tepukan semakin gemuruh kedengaran sejurus kejayaan roket melancarkan beberapa mikrosatelit ke orbit, sejam kemudian.
-AFP
-BeritaHarian