Sekolah al-Quran sumbangan rakyat Malaysia musnah dibedil tentera Zionis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Tentera Zionis memusnahkan Sekolah al-Quran Malaysia di Gaza selepas menceroboh kawasan utara kem Nuseirat di tengah Gaza minggu lalu.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Sayem memberitahu BH bangunan sekolah yang dibina pada tahun 2017 itu menjadi tempat perlindungan buat penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal selepas serangan bermula 7 Oktober 2023.

“Serangan demi serangan dilakukan dan penduduk yang berteduh di sini terpaksa berpindah,” katanya ketika dihubungi.

Omar turut berkongsi gambar sekolah sebelum dan selepas perang dan video yang menunjukkan kemusnahan bangunan tiga tingkat itu.

Beliau berkata bangunan itu dibina menggunakan dana sumbangan rakyat Malaysia dengan kos mencecah AS$1.2 juta (RM4.79juta).

“Sejak Oktober lepas seramai 2,000 penduduk Gaza mendapatkan perlindungan sementara di sekolah yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia selepas kediaman mereka musnah dibom rejim Israel.

“Kini, mereka melarikan diri malah ada juga tenaga pengajar yang dilaporkan syahid,” katanya.

-Advertisement-

Awal bulan ini, Omar berkata Pejabat Aman Palestin di Jalan Omar Mokhtar di Bandar Gaza, Palestin musnah dibom rejim Zionis.

Seramai empat kakitangan yayasan itu terkorban sejak serangan dilancarkan Israel bermula Oktober lalu.

“Seramai lapan pekerja dan 20 sukarelawan pernah berkhidmat di sini. Mereka yang terbunuh terdiri seorang akauntan, dua perunding dan seorang petugas yang bertanggungjawab terhadap anak yatim Kafalah di sini,” katanya.

Akibat pencerobohan Zionis dan peperangan berterusan, kehidupan di Semenanjung Gaza hampir mustahil diteruskan untuk lebih 2.5 juta rakyat Palestin.

Omar meminta rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan mereka di Gaza dan memberi tekanan kepada Israel supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk.

-BeritaHarian