Sektor aeroangkasa perlu kerjasama rakan industri global

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kerjasama dengan rakan kongsi industri utama bagi memastikan peralihan pantas dan peningkatan skala dalam sektor pembuatan aeroangkasa dapat dicapai.

-Advertisement-

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu dapat membantu membangunkan industri aeroangkasa negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau.

“Kita memerlukan rakan kongsi utama seperti pengeluar pesawat, Boeing untuk berkongsi teknologi dan membantu menjadikan pembuatan mampan satu realiti di Malaysia,” katanya selepas merasmikan Forum Rantaian Bekalan Aeroangkasa Boeing-Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Presiden Boeing Asia Tenggara, Alexander Feldman; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri dan Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Professor Shamsul Kamar Abu Samah.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dua perkara penting yang perlu menjadi perhatian semua industri ketika ini adalah ketahanan rantaian bekalan, amalan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) industri serta kemampanan.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 menguji daya tahan rantaian bekalan industri dan ekonomi dengan aeroangkasa menjadi salah satu sektor yang terjejas teruk.

Namun, katanya melangkah ke arah pasca pandemik, ledakan dalam perjalanan penumpang memberi manfaat bukan sahaja untuk Boeing tetapi juga rantaian bekalan utama.

“Semua pihak harus mempertimbangkan strategi yang akan mengukuhkan rantaian bekalan aeroangkasa, supaya ia mempunyai daya tahan dan ketangkasan untuk mengharungi cabaran masa depan dan ketidakpastian.

-Advertisement-

“Tambahan pula, melalui misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mengenai keselamatan ekonomi dan keterangkuman, matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan pembekal dalam setiap ekosistem pembuatan lebih berdaya tahan, supaya mereka boleh menyokong pembangunan daya tahan rantaian bekalan secara bersama.

“Sebagai pembuat dasar, MITI berperanan juga membabitkan rakan kongsi lain, seperti ahli akademik, dalam memastikan bakat yang mantap yang seterusnya dapat menyokong daya tahan sumber manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ESG juga tidak boleh diabaikan terutamanya dalam memastikan sektor penerbangan adalah mampan.

Beliau berkata, inisiatif Boeing wajar dicontohi dalam memastikan proses cekap sumber untuk pesawat, sekali gus mampu mengurangkan pelepasan karbon, sumber dan sisa kepada tapak pelupusan sampah sebanyak antara 30 hingga 39 peratus, atau sekitar AS$3 juta dalam kos pembinaan bagi setiap pesawat.

“Ini bermakna, teknologi pembuatan mampan juga adalah sinonim dengan penjimatan kos yang besar.

“Dalam negara sedang membangunkan industri aeroangkasa secara proaktif, perkongsian teknologi daripada peserta industri seperti Boeing dengan pembekal tempatan memberi peluang yang lebih besar kepada negara,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373