Tentera Israel serang bandar utama di selatan Gaza

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Israel kembali ‘mengganas’ dengan mengerahkan kereta kebal dan tentera ke selatan termasuk bandar kedua terbesar Khan Yunis, selepas serangan besar-besaran udara serta darat sebelum ini.

-Advertisement-

Serangan terbaharu itu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan sebahagian besar utara Gaza musnah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran kebarangkalian senario lebih buruk berlaku susulan tindakan tentera Israel menyerang selatan Gaza, semalam.

Serangan itu menyebabkan orang awam terpaksa melarikan diri ke kawasan yang semakin mengecil di wilayah terkepung di selatan, tetapi dibom pula hari ini.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Richard Peeperkorn, berkata keadaan diakui semakin buruk setiap jam dan menggesa gencatan senjata yang berterusan diusahakan segera, selepas hampir dua bulan perang.

“Kita sudah menghampiri ke era paling gelap dalam aspek kemanusiaan,” katanya

kepada pemberita melalui pautan video dari Rafah di selatan Gaza.

Ketua pertubuhan bantuan, Majlis Pelarian Norway, Jen Egeland, pula berkata keganasan di Gaza kini menjadi serangan paling teruk ke atas mana-mana penduduk awam pada zaman ini.

“Negara yang menyokong Israel dengan senjata mesti memahami bahawa kematian orang awam ini akan menjadi kesan kekal pada reputasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertempuran disambung semula selepas berakhirnya pemberhentian sementara perang yang dikendalikan Qatar pada Jumaat lalu, sekali gus menyaksikan sejumlah tahanan Israel dan warga lain dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Di utara Gaza, menurut tentera, mereka sudah mengepung kem pelarian Jabalia dan turut menyerbu pusat kawalan serta kawalan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Hamas.

Katanya, jumlah askar Israel yang terbunuh sejak perang bermula meningkat kepada 82 orang.

Sementara di Israel, siren berbunyi di hab komersial Tel Aviv yang memberi amaran mengenai tembakan roket menyasarkan kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Komando Selatan tentera Israel, Mejar Jeneral Yaron Finkelman, berkata serangan itu adalah bagi memusnahkan Hamas dan membebaskan tahanan yang berada di tangan Hamas sejak 7 Oktober lalu.

-Advertisement-

Beliau berkata, serangan itu disifatkan sebagai hari paling sengit sejak awal operasi darat pada akhir Oktober.

“Kami bukan sahaja berada di tengah-tengah Jabalia, dan Shejaiya (di utara Gaza), malah juga Khan Yunis,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi, kereta kebal Israel, pengangkut berperisai dan jentolak dilihat berhampiran Khan Yunis, sehingga memaksa orang awam yang sudah berpindah untuk berkemas dan melarikan diri semula.

Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, 25 orang maut dalam serangan di sebuah sekolah yang menjadi lokasi berteduh bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Katanya, ambulans, trak dan kenderaan lain membantu menghantar mangsa yang berlumuran darah dan diselaputi debu ke hospital Nasser, Khan Yunis, termasuk kanak-kanak.

Ketua Tentera, Herzi Halevi, berkata tekanan diberikan kepada pihak tentera supaya memusnahkan Hamas termasuk pemimpinnya, dan membantu usaha membebaskan baki 138 tebusan Israel.

Israel mengisytiharkan perang ke atas Palestin selepas serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober yang dilaporkan membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menyaksikan kira-kira 240 orang dijadikan tahanan.

Pejabat media kerajaan kendalian Hamas memaklumkan jumlah korban terkini dari adalah seramai 16,248 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Hamas sebelum ini menolak pembebasan seterusnya sehingga gencatan senjata kekal dipersetujui.

Pemerintah Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, berkata negaranya sentiasa berusaha untuk memperbaharui gencatan senjata dan mengecam masyarakat antarabangsa kerana tiada tindakan ketara dibuat berhubung perang.

Peperangan itu mencetuskan kebimbangan konflik serantau yang lebih luas, dengan serangan terhadap Hizbullah yang disokong Iran, merentasi sempadan Israel dan Lubnan.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373