Tentera Zionis serbu kompleks perubatan, ramai pesakit maut

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terus menggempur Kompleks Perubatan Hospital Nasser di Khan Younis semalam, menyebabkan lebih banyak kematian, dedah Kementerian Kesihatan Palestin.

-Advertisement-

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), fasiliti itu dijadikan tempat untuk memindahkan sebahagian daripada kira-kira 140 pesakit yang terkandas di wilayah itu.

Pegawai Palestin memaklumkan bahawa mayat pesakit mula mereput akibat pemotongan bekalan eletrik dan pertempuran yang berlarutan lebih empat bulan tidak memberikan ruang untuk mengebumikan jenazah.

Bagaimanapun, Israel tidak memberi sebarang reaksi segera mengenai serbuan terbaharu ke atas kompleks perubatan terbabit, yang sudah mula dikosongkan selepas serbuan tentera Israel pada awal minggu.

Di Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Palestin kini tertumpu, kawasan perkhemahan sementara terus bertambah besar dengan hanya berbumbungkan plastik.

Turut kelihatan, sekurang-kurangnya tujuh mayat disimpan dalam beg dan dibaringkan atas batu di luar bilik mayat kerana tiada kemudahan bagi menggali kubur, malah tanah perkuburan sudah ditimbus runtuhan bangunan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 120 orang disahkan terbunuh, manakala 130 cedera dalam tempoh 24 jam lalu berpunca serangan menggila Israel.

Difahamkan, masih terdapat ramai mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan, dengan tiada cara bagi membantu mengeluarkan mereka.

Antara runtuh terkena bedilan ialah Masjid al-Farouk yang musnah teruk apabila kelihatan seperti diratakan menjadi kepingan konkrit.

Penduduk setempat memberitahu, pengeboman malam kelmarin adalah yang paling dahsyat pernah berlaku sejak serangan berterusan Israel ke atas atas bandar itu 10 hari lalu, yang menyaksikan dua tebusan dibebaskan dan ramai orang awam terbunuh.

-Advertisement-

Berkongsi pengalaman, Jehad Abuemad, 34, mengakui sangat terganggu dengan bunyi letupan ekoran serangan menggila oleh rejim Zionis.

“Kami tidak dapat tidur, bunyi letupan dan pesawat menderu di atas kepala tanpa henti.

“Kami dapat mendengar kanak-kanak menangis dalam khemah berdekatan. Orang di sini terdesak dan tidak terdaya lagi,” katanya yang tinggal bersama keluarganya dalam khemah.

Ketua Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Christopher Lockyear, memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York bahawa kanak-kanak di wilayah itu mengalami trauma.

“Kecederaan psikologi ini telah menyebabkan kanak-kanak seawal lima tahun mengadu kepada kami bahawa mereka lebih suka mati,” katanya.

Israel mengancam untuk melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Rafah yang menjadi bandar terakhir di pinggir selatan Gaza, benteng terakhir penduduk Palestin di sempadan dengan Mesir.

Terdapat rayuan dan gesaan yang semakin lantang daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kerakusan Israel itu, termasuk dari sekutu utama Amerika Syarikat (AS), namun masih gagal menghalang kemaraan Israel.

Penduduk yang melarikan diri ke Rafah dari tempat lain dikatakan tiada lagi tempat untuk dituju.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373