UNIMAS cemerlang dalam misi untuk lebih memahami COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING, 10 Mac — Saat melangkah masuk ke makmal Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), terasa seperti berada dalam babak drama jenayah forensik Amerika yang terkenal, ‘CSI: Crime Scene Investigation’.

Suasana di dalam makmal itu, dengan mikroskop, piring petri dan tabung uji yang tersusun rapi, sama seperti apa yang sering dilihat penonton siri televisyen hit itu apabila para pelakon melakukan tugasnya dengan sains forensik untuk menyelesaikan sesuatu kes pembunuhan.

-Advertisement-

-Advertisement-

Berbanding mencari dalang jenayah terbabit, makmal khusus ini bagaimanapun meneliti organisma yang menjadi punca penyakit berjangkit di Sarawak dan kepulauan Borneo secara keseluruhan.

Sejak pandemik COVID-19 tercetus tahun lepas, IHCM juga menjadi barisan hadapan dalam memerangi wabak itu di negeri ini. Ia ditugaskan untuk menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan virus.

Pada awal Februari, tugasnya dalam penjujukan genom membawa kepada penemuan dua varian virus COVID-19, berbeza daripada yang dikesan di negeri ini pada Mac tahun lepas.

Strain itu sama dengan yang dijumpai di Indonesia dan United Kingdom walaupun tiada bukti kepada tahap jangkitan yang tinggi.

Pengesanan varian itu menunjukkan kepentingan keperluan pengawasan genomik yang berterusan, kata Pengarah IHCM Prof Dr David Perera.

“Kita perlu tahu sekiranya virus ini berubah, dan jika berubah, di mana ia berubah kerana kalau ia bermutasi pada bahagian yang akan mempengaruhi keberkesanan vaksin. Jadi, terdapat potensi kegagalan vaksin, bermakna kita mungkin tidak akan dilindungi dengan baik (walaupun dengan vaksin),” katanya.

Prof Perera menjelaskan beberapa vaksin COVID-19 hanya menyasarkan protein tertentu dalam virus, dan jika mutasi berlaku, ia akan melemahkan kesan vaksin ini seperti apa yang berlaku dalam kes strain Afrika Selatan.

“Jadi, kami perlu mengesan perubahan virus sekurang-kurangnya satu ke dua tahun selagi kita ada kes positif (COVID-19),” katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap serta bekerja di Sarawak sejak 1997.

IHCM yang mempunyai empat penyelidik dan 20 kakitangan juga memainkan peranan penting dalam memberi maklum balas terhadap apa-apa wabak yang menular di Sarawak, seperti campak seketika waktu dahulu.

Prof Perera berkata saintis di seluruh dunia sedang melihat pelbagai varian virus dengan sebilangan besar penjujukan genom COVID-19 dihantar setiap hari menerusi platform perkongsian data dalam talian seperti GISAID.

Menerusi simpanan kolektif ini katanya, penyelidik dari seluruh dunia boleh melihat asal usul virus tertentu dan bagaimana ia terus berubah.

“Begitulah cara kami memberitahu, contohnya, virus yang kita kesan (pada Februari) berkait dengan United Kingdom, dieksport ke Indonesia dan menjadi strain yang meluas di sana.

“Terdapat kira-kira enam ke tujuh entiti di Malaysia yang menyumbang kepada penyimpanan (data) itu. IHCM adalah antara tiga penyumbang terbesar dari negara ini,” katanya.

Selain itu, IHCM kini bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk membangunkan platform saringan massa bagi menguji status imuniti atau antibodi apabila penduduk sudah menerima vaksin COVID-19.

Prof Perera berkata ini penting kerana pada masa ini, tiada siapa yang pasti jika vaksin memberi perlindungan seumur hidup terhadap penyakit itu.

“(Katalah) anda menerima vaksin (COVID-19) sekarang, adakah anda akan dilindungi untuk tempoh enam bulan atau setahun?

“Ia berbeza jika kita bandingkan dengan vaksin campak atau BCG yang kita tahu akan memberikan perlindungan seumur hidup. Oleh itu, penting untuk mengesan status imuniti kita setiap masa,” katanya.

— BERNAMA