MCMC keluar notis siasatan awam kaji MSQoS

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 8 April — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan siasatan awam untuk mengkaji semula tiga MSQoS sedia ada berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan memperkenalkan satu MSQoS baharu berkenan perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi.

-Advertisement-

Menurut kenyataan MCMC  hari ini, MSQoS yang terlibat dalam siasatan awam itu ialah MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu), MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar, MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.

MCMC berkata siasatan awam itu bertujuan mengumpulkan pandangan orang ramai dan semua pihak berkepentingan tentang cadangan piawaian baharu berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan terbabit bagi menggantikan MSQoS sedia ada.

“MCMC berpandangan MSQoS baharu dengan piawaian minimum yang lebih tinggi perlu diperkenalkan bagi menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi terkini, kehendak pelanggan dan hala tuju strategik negara ke arah pembangunan masa depan mengikut acuan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Inisiatif MyDigital,” demikian menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

MCMC berkata antara syarat yang disemak semula ialah tempoh penyelesaian aduan dan respons perkhidmatan pelanggan, notifikasi kepada pelanggan berkenaan gangguan perkhidmatan, kelajuan rangkaian, keciciran data dan kelengahan rangkaian.

Maklum balas boleh diberikan menerusi laman sesawang rasmi www.mcmc.gov.my bermula hari ini hingga 4 Jun dan semua ulasan akan dipertimbang untuk menyokong atau meminda cadangan MSQoS tersebut, kata MCMC.

MSQoS merupakan dokumen kawal selia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998  yang menetapkan kualiti minimum yang perlu dipatuhi oleh syarikat yang menjalankan perkhidmatan telekomunikasi. Kegagalan mematuhi MSQoS yang telah diwartakan boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi terbabit didenda di bawah Seksyen 242 AKM 1998.

— BERNAMA