Warga Palestin kembali ke utara Gaza yang musnah sama sekali

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Penduduk Palestin mula kembali ke utara Gaza yang musnah sama sekali, selepas tentera Israel berundur untuk menumpukan serangan di tengah dan selatan Gaza pula.

-Advertisement-

Serangan bom Israel selama lebih tiga bulan memusnahkan hampir keseluruhan besar kawasan pesisir pantai, meragut nyawa lebih 23,000 orang awam dan mengakibatkan sekitar 2.3 juta penduduk Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Sebahagian besar rumah penduduk musnah, memaksa mereka mendirikan khemah sementara dan perang tidak memungkinkan mereka membina kembali kediaman mereka dalam masa terdekat.

Sekatan Israel pula mengehadkan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara mendadak, mewujudkan apa yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu malapetaka kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk tindakan Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, dengan menyifatkannya sebagai pembohongan.

Afrika Selatan menerusi tuntutannya di di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB yang diwujudkan pada 1948.

“Israel mempunyai niat melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, niat untuk memusnahkan Gaza dipupuk pada peringkat tertinggi negara.”

kata peguam bela Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, Tembeka Ngcukaitobi, kepada mahkamah di The Hague.

Afrika Selatan meminta mahkamah mendapatkan perintah awal untuk menuntut Israel menghentikan perang serta merta, sementara mahkamah mendengar merit penuh kes itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Netanyahu dalam maklum balasnya berkata ‘kemunafikan Afrika Selatan adalah pada tahap terburuk’.

-Advertisement-

“Kami memerangi pengganas, kami memerangi pembohongan… hari ini kami melihat dunia terbalik. Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika ia memerangi pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Kementerian Luar Israel menuduh Afrika Selatan ‘berfungsi sebagai cabang undang-undang pertubuhan Hamas dalam kes yang disifatkan satu dakwaan palsu dan tidak berasas.

Rumah Putih turut mendakwa ia satu tuduhan tidak berasas manakala penduduk Palestin berkata, mereka berharap mahkamah akan menghentikan perang berkenaan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan, lewat malam tadi sembilan individu terbunuh dalam tindakan pengeboman oleh Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Rafah.

Sebaik memasuki tahun baharu, Israel mengumumkan fasa baharu peperangan, termasuk menarik balik pasukannya di bahagian utara Semenanjung Gaza iaitu lokasi pertama serangannya, namun pertempuran semakin rancak di kawasan selatan.

Keadaan itu membolehkan penduduk di utara kembali ke rumah mereka tetapi bandar berkenaan musnah sama sekali dan hanya tinggal sisa runtuhan kediaman masing-masing.

– REUTERS

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373