Wartawan dakwa perkhidmatan keselamatan Ukraine mengintip mereka

Estimate Reading Time: < 1 minute

KYIV: Saluran kewartawanan penyiasatan Ukraine bihus.info semalam mendedahkan bahawa Agensi Keselamatan Ukraine (SBU) menyenaraikan wartawannya di bawah pengawasan haram.

-Advertisement-

Dalam catatan di aplikasi Telegram, bihus.info yang acap kali menerbitkan laporan penyiasatan mengenai pegawai dan individu persendirian yang kaya mendakwa, unit SBU mengerahkan sebanyak 30 orang untuk mengintip wartawannya sewaktu acara korporat di sebuah hotel pada Disember tahun lalu.

“Siapa yang mewakili ancaman terbesar kepada keselamatan negara semasa perang?,” soal seorang wartawan di platform terbabit.

SBU dalam satu kenyataan balas memaklumkan bahawa pihaknya mengekalkan prinsip kebebasan akhbar sebagai sebahagian daripada misinya untuk mempertahankan kepentingan negara.

-Advertisement-

Tambahnya, SBU turut melancarkan siasatan jenayah terhadap penggunaan teknologi pengintipan.

Sementara itu, sumber dalam organisasi itu memberitahu bahawa ketua Jabatan Pertahanan Negara di bawah agensi itu dipecat selepas laporan itu didedahkan kepada umum bulan lalu.

Dalam satu kenyataan di Telegram, SBU memaklumkan beberapa kakitangan saluran media itu dikenalpasti kerana terbabit dalam pengedaran dadah.

Pada bulan lalu, video yang disiarkan dalam talian oleh kumpulan yang kurang dikenali memaparkan petugas bihus.info pada Disember tahun lalu, didapati menggunakan dadah secara rekreasi dan ada bercakap bagaimana untuk mendapatkan ganja dan MDMA.

Penggunaan dadah untuk tujuan terbabit adalah menyalahi undang-undang di Ukraine.

Bagaimanapun, bihus.inf mengakui video itu adalah tulen sambil menyelar apa yang dilakukan oleh kakitangannya.

Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, pernah mengumumkan untuk melancarkan siasatan terhadap aktiviti pengawasan selain mengecam cubaan untuk menekan wartawan.
-REUTERS
-BeritaHarian