4 disyaki dijangkiti koronavirus disahkan negatif

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Keempat-empat pesakit yang disyaki dijangkiti koronavirus di negara ini disahkan negatif virus itu, menurut Kementerian Kesihatan.

-Advertisement-

Kementerian itu mengesahkan ujian pengesanan dan pengesahan virus novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) seorang pesakit yang dirawat di wad isolasi di sebuah hospital di Sabah adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata gejala yang dialami pesakit itu disebabkan jangkitan influenza A.

“Dimaklumkan keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes disyaki itu oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan novel koronavirus.

“Gejala yang dialami oleh beliau disebabkan jangkitan influenza A. Beliau kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

-Advertisement-

Keputusan itu menjadikan keempat-empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV, masing-masing 2 kes di Selangor dan Sabah, negatif.

Dalam kenyataan awal sebelum ini, Hisham berkata kementerian melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menerima laporan 4 kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan ujian makmal ke atas sampel 3 daripada 4 individu berkenaan didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

Media sebelum ini melaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak coronavirus yang mengakibatkan 9 maut, manakala lebih 400 orang dijangkiti virus itu setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO juga telah menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, kementerian bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427