KUCHING 18 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (JIM Sarawak) menahan 74 warga asing menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kuching pada 15 dan 16 Oktober lalu, susulan pemeriksaan terhadap lapan lokasi yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Operasi yang melibatkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa itu menyasarkan beberapa premis kediaman, rumah teres serta bilik sewa yang dipercayai menempatkan warga asing tanpa mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan.
Daripada 79 individu yang diperiksa, seramai 74 ditahan terdiri daripada 45 lelaki dan 29 perempuan. Mereka melibatkan 63 warganegara Indonesia, 10 warganegara China dan seorang warganegara Kemboja. Dua Borang 29 turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
-Advertisement-
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah pelanggaran Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta peruntukan berkaitan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam perkembangan sama, dua daripada lapan premis yang diperiksa turut disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penipuan dalam talian. Beberapa unit komputer dan telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.
JIM Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran dan kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang. Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa demi menjaga keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara – The Capital Post