KEPALA BATAS, 22 Feb — Kanak-kanak lelaki yang menghidap leukimia, Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan, 7, yang sebelum ini telah mencapai impiannya untuk menaiki kereta peronda polis (MPV), meninggal dunia semalam.
-Advertisement-
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata beliau dimaklumkan Mohammad Ammar Dhani meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang di rumah keluarganya di Bakar Kapor, Penaga di sini.
“Jenazah kanak-kanak yang menghidap kanser tahap empat itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bakar Kapor, Penaga, kira-kira pukul 10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
-Advertisement-
Pada 22 Jan lepas, impian Mohamad Ammar Dhani untuk menaiki MPV menjadi kenyataan apabila dibawa meronda di sekitar kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah SPU sambil diiringi Noorzainy.
Kanak-kanak itu yang menghidap kanser darah sejak berusia dua tahun dan bercita-cita menjadi anggota polis dibawa bersiar-siar selama 10 minit sejauh kira-kira dua kilometer dengan MPV jenis Honda Civic. -BERNAMA