KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Gelembung Pelancongan Bersasar mulai hari ini, akan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan domestik bangkit semula akibat pandemik COVID-19.
-Advertisement-
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pelaksanaannya akan membuka ruang dan peluang rakyat kembali melancong sekali gus membolehkan sektor ini mula beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata, langkah itu juga akan turut membantu kelangsungan pekerja yang terbabit dalam rantaian sektor pelancongan.
“Rakyat wajar mengambil ruang dan peluang susulan pengumuman kerajaan ini untuk kembali menyemarakkan semarakkan pelancongan domestik.
“Saya percaya banyak lagi destinasi menarik negara yang belum diterokai sepenuhnya.
“Saya berharap rakyat di negara ini dapat menjadi pelancong bertanggungjawab dan menikmati pengalaman persembahan kebudayaan tanpa alpa dan leka serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui Gelembung Pelancongan Bersasar, pelancong dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan merentas negeri PKPP lain, .
-Advertisement-
Ismail Sabri berkata, kebenaran pergerakan itu bagaimanapun tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.
Nancy turut meminta syarikat pelancongan tempatan mengambil peluang mempamerkan perkhidmatan terbaik melalui tawaran harga menarik dan berpatutan serta penambahan pengalaman melancong.
“Sama-samalah bekerjasama dan berdoa industri pelancongan dan kebudayaan tempatan tidak perlu lagi melalui saat seperti ini kerana impak negatifnya terhadap rantaian ekonomi mereka yang terbabit dan negara adalah sangat mendalam,” katanya.
Nancy dalam perkembangan lain turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan aktiviti langsung bagi industri kreatif di kawasan PKPP dan PKPB.
Ia termasuk program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan boleh diadakan secara langsung dengan kehadiran 50 peratus penonton melalui pematuhan SOP ketat.
“Berilah peluang kepada penggiat sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan untuk membawa anda menikmati layanan Malaysia.
Cuti-Cuti Malaysia, patuhi SOP. Rakyat Malaysia mampu melakukannya,” katanya.