MyBinary-PTPTN bantu pelajar B40, M40

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Binary University memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar B40 dan M40.

-Advertisement-

Melalui kerjasama untuk memperkasakan pendidikan negara, pelajar bakal menerima subsidi yuran pengajian dan mendapat kemudahan pinjaman PTPTN apabila melanjutkan pengajian di Binary University bagi kemasukan 2021/2022.

Subsidi yuran pengajian diberikan oleh Binary University menerusi Geran Pendidikan Prihatin (GPP) MyBinary-PTPTN dengan peruntukan berjumlah RM205 juta secara sekali beri.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti pengajian asasi akan menikmati subsidi sebanyak RM54,600 bagi tempoh empat tahun pengajian termasuk Ijazah Sarjana Muda.

Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pula akan menikmati subsidi sebanyak RM40,950 selama tiga tahun pengajian.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata susulan penularan wabak pandemik COVID-19, beliau berharap pelajar universiti berkenaan memanfaatkan bantuan disediakan menerusi usaha sama antara tabung pendidikan itu dengan Binary University.

“Saya berharap pelajar akan memohon untuk mendapatkan subsidi yuran ini.

“GPP MyBinary-PTPTN mencerminkan keprihatinan PTPTN dan Binary University dalam menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

-Advertisement-

“Terima kasih kepada Binary University atas keprihatinan dengan menyediakan subsidi yuran yang tinggi demi membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan sekali gus menjadi universiti swasta yang wajar dicontohi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pengasas Binary University, Prof Tan Sri Joseph Adaikalam, berkata kaedah pengajian di universiti berkenaan menawarkan beberapa kelebihan sangat penting bagi kebolehpasaran graduan dengan menggunakan tiga ekosistem unik.

“Pertama, semua pelajar Binary dilengkapkan dengan kemahiran industri spesifik untuk menjadi Pakar Industri Profesional (ISP).

“Kedua, melalui ekosistem Ekosistem Keusahawanan Binary (BEE) yang terdiri daripada ribuan usahawan, Binary dapat memupuk sifat keusahawanan dalam semua graduan mahupun yang ingin bekerja atau mahu menjadi usahawan.

“Ketiga, Bakat Antarabangsa Binary (BTI) yang terdiri daripada ribuan majikan yang sedang mencari pekerja (graduan) yang mempunyai kemahiran industri spesifik dengan corak pemikiran keusahawanan yang komprehensif serta berfokus. Pelajar dan majikan tidak perlu membayar apa-apa untuk perkhidmatan BTI,” katanya.

Untuk memohon GPP MyBinary-PTPTN, pelajar berkenaan boleh berbuat demikian menerusi laman web www.binary.edu.my/gpp bermula hari ini.-BH