Banjir: Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktifkan

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah sudah sedia diaktifkan dengan tahap kesiapsiagaan sentiasa ditambah baik bagi menghadapi bencana sedang serta bakal berlaku terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

-Advertisement-

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) juga dilengkapi dengan keperluan asas untuk mangsa terkesan dengan banjir.

“Saya meminta semua Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan segala aset pengoperasian adalah mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata, bagi mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan, mereka diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Beliau turut meminta semua penduduk berada di kawasan terdedah kepada banjir untuk patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Saya menyeru semua penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada banjir untuk patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh MetMalaysia.

-Advertisement-

“Saya juga berharap ketua keluarga untuk sentiasa memantau pergerakan keluarga di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada keluarga masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, MetMalaysia pada 19 Disember mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala peringkat Buruk bagi negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Katanya, luruan monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember dan hujan berterusan dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung. Hujan lebat berterusan juga dijangka tertumpu di Pahang dan Johor pada bermula 21-22 Disember.

Setakat jam 11 pagi Isnin, situasi banjir di lima negeri semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 26,326 orang daripada 7,693 keluarga yang ditempatkan di 296 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi seramai 13,819 orang diikuti Kelantan (12,343); Johor (75); Perak (49) dan Pahang (40).-Sinar Harian