Dewan Rakyat lulus 12 RUU, dalam tempoh 31 hari

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, yang berlangsung selama 31 hari bermula 13 Februari lalu, menyaksikan 12 rang undang-undang (RUU), diluluskan.

-Advertisement-

Turut diluluskan, empat usul daripada kerajaan diluluskan, termasuk Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan Belanjawan 2023.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata sepanjang mesyuarat itu yang berakhir hari ini, pelbagai pembaharuan juga diterapkan dalam urusan Dewan.

Katanya, antara pembaharuan berkenaan adalah Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri, selain jumlah Pertanyaan Bagi Jawab Lisan melebihi 10 pertanyaan lisan pada setiap mesyuarat.

“Ini disusuli urusan Kamar Khas yang memberi peluang kepada Yang Berhormat, seramai tujuh ahli daripada kerajaan dan enam daripada pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara Mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), yang tidak pernah terjadi.

“Selain itu, usul berkenaan perkara tadbir kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 di Kamar Khas kali ini boleh diucap lebih daripada dua usul, iaitu maksimum empat usul daripada dua Yang Berhormat.

-Advertisement-

“Ini membawa kepada sebanyak 83 ucapan sudah dirunding di Kamar Khas pada kali ini dalam masa 29 hari,” katanya dalam ucapan penutupan hari terakhir mesyuarat Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, sidang Dewan Rakyat juga kerap berlanjutan hingga waktu malam, malah terdapat hari, yang mana sidang tidak ditangguhkan pada jam 1 tengah hari, sekali gus menunjukkan kesungguhan Ahli Parlimen dalam urusan Dewan.

“Saya dan timbalan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan.

“Terima kasih juga kepada warga Parlimen, khususnya pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pengendalian majlis mesyuarat,” katanya. – Berita Harian