KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menegaskan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana beliau masih ahli UMNO.
-Advertisement-
Menerusi siaran podcast ‘KeluarSekejap’, beliau berkata, dengan keyakinan 99 peratus untuk tidak terbabit dengan PRN.
Katanya, secara teknikalnya beliau masih ahli UMNO dan jika beliau mengambil keputusan bertanding PRN, perlu membuat satu keputusan yang drastik.
“Tidak, 99 peratus tidak bertanding PRN kerana secara teknikal masih ahli UMNO. Ini satu pertimbangan saya dan saya tidak mahu membuat keputusan drastik pilih parti dan sebagainya.
“Lebih daripada itu saya tidak mahu buat keputusan yang saya belum fikir masak-masak,” katanya dalam siaran podcast yang dikendalikannya beliau bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
-Advertisement-
Sementara itu, dalam siaran podcast yang sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyatakan kemungkinan penyertaannya dalam PRN, namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.
Januari lalu, Khairy menyertai senarai pemimpin UMNO yang dipecat, manakala Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO digantung keahliannya selama enam tahun.
Khairy dipecat daripada UMNO selepas dikatakan melanggar undang-undang disiplin parti.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Khairy belum memberi maklum balas atas tawaran menyertai Perikatan Nasional (PN).
Sebelum itu, Takiyuddin mengumumkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan untuk menyertai PAS, susulan penyertaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dalam PN kelmarin, yang mengumumkan mahu bertanding PRN di Selangor. – Berita Harian