SAN FRANCISCO: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan diisi secepat mungkin susulan peletakan jawatan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
-Advertisement-
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata beliau dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM (Komunikasi Komuniti), Datuk Ismail Yusop berhubung perkara itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas khidmatnya dan berkata Mohammad Agus kini tiada lagi apa-apa kaitan dengan pihak kerajaan atau J-KOM.
“Saya belum bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) khusus mengenai perkara ini. Saya percaya langkah-langkah untuk mengisi jawatan tersebut akan dibuat secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Mohammad Agus.
-Advertisement-
Mohammad Agus semalam mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri pada Rabu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Februari lalu.
– BERNAMA
– BeritaHarian