Van Nistelrooy kembali ke United bantu Ten Hag

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANCHESTER, England: Manchester United melantik bekas penyerang mereka Ruud van Nistelrooy sebagai penolong pengurus Erik ten Hag dalam satu lagi tindakan yang diharap mereka dapat mengembalikan semula juara Inggeris 20 kali itu ke mercu kegemilangan.

-Advertisement-

Rene Hake turut dilantik dengan peranan sebagai pembantu bagi melengkapkan pasukan pengurusan dari Belanda.

Ten Hag menandatangani sambungan kontrak yang akan mengekalkannya di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hingga 2026 di sebalik musim buruk yang menyaksikan United berakhir di tangga kelapan dalam carta.

“Kini masa yang sesuai untuk merombak kembali pasukan kejurulatihan ketika kami mahu meneruskan pencapaian dalam dua tahun terakhir dan melonjak ke satu tahap baharu,” kata Ten Hag dalam satu kenyataan.

Van Nistelrooy, 48, menjaringkan 95 gol dalam 150 penampilan EPL buat United antara 2001 dan 2006 dan muncul penjaring gol terbanyak pasukan itu dalam Liga Juara-Juara dengan 35 gol.

Dia menyumbat 35 gol dalam 70 penampilan bersama Belanda.

-Advertisement-

Van Nistelrooy mengemudi PSV Eindhoven bagi penamat naib juara Eredivisie selain menjuarai Piala Belanda pada 2022-23.

“Bersama Erik, kami akan bekerja keras untuk mengukuhkan segenap aspek operasi pasukan utama lelaki dan merombak staf kejurulatihan sebahagian penting daripadanya,” kata pengarah sukan United, Dan Ashworth.

Hake melatih beberapa pasukan di Belanda dalam tempoh 20 tahun terakhir. Mitchell van der Gaag dan Benni McCarthy kedua-duanya sudah meninggalkan staf kejurulatihan di Old Trafford.

Pemain tengah United dari Belanda, Donny van de Beek sudah melengkapkan perpindahan tetap ke kelab La Liga Sepanyol, Girona.

-REUTERS

-BeritaHarian