LONDON: Polis memulakan siasatan terhadap salah guna media sosial yang ditujukan kepada isteri penyerang Arsenal, Kai Havertz selepas persembahan buruk terbaharunya.
-Advertisement-
Havertz gagal menyempurnakan tendangan penalti ketika Arsenal tumbang di tangan Manchester United pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris, Ahad lalu.
Susulan kekalahan kedua berturut-turut Arsenal, isteri pemain kebangsaan Jerman itu, Sophia, menyiarkan semula mesej berbaur kecaman diterimanya di laman Instagram.
Seorang jurucakap polis memberitahu Press Association: “Pegawai kami menerima laporan komunikasi berniat jahat terhadap seorang warga Hertfordshire pada Ahad 12 Januari. Siasatan sedang dijalankan.”
-Advertisement-
Havertz menjaringkan 12 gol dalam 27 perlawanan buat Arsenal musim ini.
Namun penyudah lemah pada aksi menentang United dan aksi terdahulu kalah 2-0 di laman sendiri kepada Newcastle pada separuh akhir pertama Piala Liga mencetus semula kritikan terhadap pemain Jerman itu.
Havertz, yang menjaringkan gol kemenangan buat Chelsea pada final Liga Juara-Juara 2012, mengharungi kempen tidak menentu bersama Arsenal sejak berpindah ke kelab seberang London itu pada 2023.
–AFP
-BeritaHarian