Hatrik Torres pacu Barca ke separuh akhir

Estimate Reading Time: < 1 minute

VALENCIA, Sepanyol: Penyerang Ferran Torres meledak hatrik dalam tempoh 30 minit pertama untuk membantu Barcelona membelasah Valencia 5-0 pada suku akhir Copa del Rey awal pagi tadi.

-Advertisement-

Beraksi di kampung halaman menentang kelab zaman kanak-kanaknya, Torres menyumbat gol menerusi serangan balas pantas pada minit kedua dan mengukuhkan kedudukan pada minit ke-17 bila mana dia menyudahkan bola muntah susulan percubaan Lamine Yamal yang terkena palang.

-Advertisement-

Fermin Lopez menjaringkan gol ketiga menerusi satu lagi serangan balas pantas lima minit kemudian sebelum Torres menjadikan kedudukan 4-0 selepas setengah jam dengan rembatan dari penjuru kotak penalti.

Pelawat mengendurkan asakan selepas rehat tetapi Yamal menambah gol kelima pada minit ke-59 dengan sedikit bantuan penjaga gol Valencia, Stole Dimitrievski.