PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan melengkapkan siasatan Ops Sky susulan keterangan tiga selebriti yang dirakam semalam bagi membantu siasatan.
-Advertisement-
Menurut sumber, SPRM sudah mendapatkan maklumat diperlukan daripada selebriti terbabit.
“Ketiga-tiga selebriti ini tiba di Ibu Pejabat SPRM pagi semalam melalui pintu utama dan bukan mengikut pintu belakang seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media.
“Setakat ini, SPRM selesai mendapatkan maklumat daripada mereka dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Sumber berkata, ketiga-tiga selebriti itu hadir pada jam 9.30 pagi semalam dan selesai memberi maklumat sekitar jam 2.30 petang.
Katanya, buat masa ini tiada tangkapan baharu dilakukan berhubung kes terbabit.
-Advertisement-
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti berkenaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM semalam bagi melengkapkan siasatan.
Semalam, media melaporkan tiga selebriti hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk dirakam keterangan masing-masing bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Ops Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.
Mereka ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Roziana Zain atu lebih dikenali Ziana Zin dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Azam sebelum ini turut dilapor berkata, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
Setakat ini, 27 individu direman termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan semua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen manakala 98 akaun bank dibekukan dengan nilai lebih RM17 juta.
-BeritaHarian