Scientex catat untung bersih suku kedua RM123.9 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Scientex Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM123.9 juta pada suku kedua berakhir 31 Januari 2025, lebih rendah berbanding RM141 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

-Advertisement-

Pendapatan diraih pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah terkemuka itu pada suku dikaji bagaimanapun meningkat 1.1 peratus kepada RM1.11 bilion, berbanding RM1.09 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Bahagian hartanah kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, dengan pendapatan meningkat 3.8 peratus kepada RM474.4 juta, meningkat berbanding RM456.9 juta sebelumnya.

Manakala, bahagian pembungkusan pula mencatatkan pendapatan stabil sebanyak RM630.7 juta berbanding RM635.8 juta sebelumnya, berikutan jumlah jualan kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan industri.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 2025, Scientex mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.21 bilion lebih tinggi berbanding RM2.20 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih kumpulan berjumlah RM252.6 juta berbanding RM278.9 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah dan persaingan pasaran yang meningkat dalam segmen pembungkusan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata model perniagaan teras berkembar kumpulan terus menunjukkan kekuatan dalam persekitaran pasaran semasa, dengan bahagian hartanah mendapat manfaat daripada permintaan yang berterusan untuk perumahan mampu milik, manakala bahagian pembungkusan menyesuaikan diri dengan keadaan industri yang berubah.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengembangkan pembangunan hartanah dan memperoleh tanah di lokasi strategik untuk meningkatkan ketersediaan rumah mampu milik.

-Advertisement-

“Kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus memastikan kemampuan pinjaman rumah yang berterusan, menyokong keyakinan pembeli dan permintaan yang berterusan untuk projek rumah mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi bahagian pembungkusan pula, Peng Jin berkata, Scientex kekal fokus terhadap pengurusan kos dan kecekapan operasi, sambil memanfaatkan keupayaan pembuatan yang utuh untuk memacu inovasi.

Beliau berkata, dengan membangunkan penyelesaian pembungkusan nilai tambah khusus, pihaknya terus mengukuhkan kedudukan pasarannya.

Pada masa sama, pihaknya terus komited untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi kitaran plastik, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembungkusan yang boleh dikitar semula dan lestari yang sejajar dengan matlamat kelestarian global.

Dalam inisiatif kelestarian bahagian pembungkusan, Scientex telah melengkapkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung di ibu pejabat dan 10 kilang pembuatan utamanya di seluruh negara.

Inisiatif itu dijangka mengurangkan kos tenaga dan mengurangkan pelepasan Skop 2, mengukuhkan komitmennya untuk menyepadukan kelestarian ke dalam operasinya.

Menuju ke hadapan, Peng Jin berkata, tumpuan strategik Scientex terhadap segmen hartanah dan pembungkusan akan membolehkannya mengharungi cabaran dan memanfaatkan peluang pasaran.

“Dalam bahagian pembungkusan, kami terus memacu daya tahan dan pertumbuhan melalui kecemerlangan operasi, inovasi dan kemampanan untuk mengukuhkan kedudukan pasaran dan menyampaikan nilai kepada pelanggan,” katanya.
-BeritaHarian