BESUT: Seorang warga emas maut dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh selepas terbabit nahas dua kenderaan di Kampung Gong Duek, Jalan Jertih-Pasir Akar di sini, hari ini.
-Advertisement-
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, Ismail Jusoh, 70, dari Kampung Gong Duek, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan kereta Perodua Kancil kira-kira jam 6.10 pagi.
-Advertisement-
“Mangsa keluar dari rumahnya menghala ke Masjid Kampung Gong Duek untuk solat Subuh manakala Kancil dipandu seorang lelaki tempatan dalam perjalanan dari pekan Jertih menghala Kampung Pasir Akar,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, pemandu Kancil berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal ditunggang mangsa yang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang kiri untuk melintas.
“Pemandu kereta turut luka di lengan kanan dan mendapat rawatan di Hospital Besut,” katanya.
Beliau berkata, penunggang motosikal cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-BeritaHarian