KOTA BHARU: Kerajaan negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyegerakan pemasangan ‘mobile scanner’ atau mesin pengimbas mudah alih di sempadan negara di Kelantan bagi membendung kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
-Advertisement-
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pada masa sama kerajaan negeri mencadangkan KDN mewujudkan atau mengadakan kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan biometrik di sempadan.
Katanya, langkah itu penting untuk memudahkan pihak berkuasa mengesan identiti pengedar yang keluar atau masuk menerusi pintu sempadan.
-Advertisement-
“Kita juga mohon penambahan dron untuk mengesan pergerakan pengedar yang merentasi sempadan.
“Ini berdasarkan maklumat majoriti bahan terlarang masuk melalui pintu utama. Jika dulu ia masuk melalui pangkalan haram, namun kini ia masuk melalui pintu utama serta gagal dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 hari ini.
Zamakhshari berkata, beliau difahamkan pemasangan kelengkapan itu dalam perancangan, namun tertangguh disebabkan faktor logistik.
“Di sempadan akan ada jambatan kedua dan pembesaran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menyebabkan ada sedikit tertangguh.
“Kita mohon KDN mempercepat pemasangan ‘mobile scanner’ di sempadan Kelantan.
“Kita juga berusaha secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh untuk menyekat penjualan dadah secara dalam talian dan difahamkan banyak dadah baru dijual secara dalam talian,” katanya.
-BeritaHarian