Terpaksa bau busuk sejak dua tahun lalu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Masalah bau busuk berpunca daripada aliran air tercemar dalam parit berhampiran kawasan perumahan di Lorong Haji Baie 3, Paya Jaras Hulu di sini, mencetuskan keresahan penduduk apabila isu terbabit berlarutan sejak hampir dua tahun tanpa penyelesaian daripada pihak berkuasa.

-Advertisement-

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri, berkata beliau turun padang bersama penduduk bagi meninjau sendiri keadaan semasa di lokasi yang terjejas.

“Hari ini saya bersama penduduk membuat tinjauan di kawasan ini. Keadaan parit amat membimbangkan dengan bau yang sangat tidak menyenangkan serta aliran air yang jelas tercemar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Beliau berkata, masalah itu menjadi lebih parah setiap kali hujan apabila air berwarna kehitaman mengalir deras dan menimbulkan bau ‘menyengat hidung’ sehingga mengganggu kehidupan seharian penduduk.

-Advertisement-

Beliau menyuarakan kekecewaan kerana isu berkenaan masih belum mendapat tindakan sewajarnya meskipun dibangkitkan sejak sekian lama.

“Saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Beliau menegaskan kesejahteraan dan keselesaan hidup penduduk harus menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan isu kesihatan dan kebersihan persekitaran.
-BeritaHarian