KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie sedar misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia bukan sesuatu yang mudah apabila kejohanan itu membuka tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.
-Advertisement-
Bersama penyertaan hampir semua pasangan beregu campuran 10 terbaik dunia termasuk gandingan utama dari China, cabaran edisi kali ini jauh lebih getir berbanding tahun lalu.
Pasangan negara itu yang kini menghuni ranking ketiga dunia hadir selaku juara bertahan selepas merangkul gelaran pertama Malaysia Masters tahun lalu dengan menundukkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam aksi final.
“Semestinya kami akan cuba yang terbaik untuk pertahankan kejuaraan jika boleh. Tapi kami ambil satu perlawanan demi satu perlawanan supaya tidak terlalu tertekan atau gementar,” kata Shevon ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena di sini, hari ini.
Dalam pusingan pertama, Soon Huat-Shevon dijadual menentang gandingan muda Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch.
Bagaimanapun, cabaran getir dijangka menanti mereka jika layak ke separuh akhir apabila berkemungkinan besar bertemu pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping – lawan yang belum pernah ditewaskan dalam dua pertemuan sebelum ini.
“China bukan saja ada satu pasangan kuat, mereka ada beberapa pasangan bertaraf dunia termasuk pemain muda yang semakin menyerlah. Kami tahu mereka sentiasa hadir dengan strategi dan kebolehan tinggi, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental,” kata Shevon.
-Advertisement-
Walaupun berstatus antara pasangan pilihan, Shevon mengakui tekanan beraksi di laman sendiri tetap dirasai, apatah lagi apabila harapan peminat tempatan turut mengiringi langkah mereka.
“Bermain di gelanggang sendiri memang sangat mengujakan tetapi dalam masa sama menakutkan sebab kita tak mahu hampakan penyokong. Tahun lalu kami tak jangka nak menang, tapi bila masuk gelanggang tanpa beban, kami dapat main dengan lebih tenang dan itu bantu kami capai momentum.
“Kami harap kemenangan tahun lalu beri inspirasi kepada pemain Malaysia lain bahawa ia bukan mustahil untuk menang di kejohanan tempatan. Ia mengenai bagaimana kita kawal minda dan emosi bila berdepan tekanan di gelanggang sendiri,” kata Shevon yang diletakkan sebagai pilihan ketiga bersama Soon Huat pada kejohanan kali ini.
Menariknya, selain persiapan rapi di gelanggang, Shevon turut tampil dengan gaya rambut baharu – sesuatu yang disifatkannya sebagai simbol permulaan segar menjelang kejohanan ini.
“Saya rasa nak cuba sesuatu yang baharu sebab sudah lebih 10 tahun saya simpan rambut panjang. Cuaca pun panas sekarang dan susah nak jaga rambut. Jadi, saya ambil keputusan untuk potong rambut.
“Harap-harap ia bawa tuah. Semoga semua yang tidak baik itu dapat dielakkan dan kami dapat permulaan yang baik di sini,” katanya.
-BeritaHarian