IG Akim digodam hanya gimik strategi promosi konsert

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kekecohan apabila akaun Instagram (IG) milik vokalis kumpulan The Majistret, Akim Ahmad, dilapor digodam, April lalu, terjawab apabila insiden itu rupa-rupanya gimik untuk mempromosikan konsert berskala besar yang bakal dijayakan bersama teman band.

-Advertisement-

Akim atau nama sebenar, Afiq Haqim Ahmad mengakui gimik itu dicipta bagi mencuri perhatian peminat mengenai penganjuran Konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur yang bakal dipentaskan di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pada 28 Jun ini mulai jam 8.30 malam.

“Idea buat gimik IG kena godam itu datang daripada penganjur konsert, Show Tag. Saya dan band ikut sahaja tanpa banyak bicara.

“Bagi saya, tidak salah mencuba kalau idea sebegitu boleh membantu mempromosikan konsert apabila isu IG kena godam jadi bualan ramai.

“Untuk zaman media sosial yang sedang berkembang ini, tidak kisahlah guna apa cara sekalipun sebagai strategi pemasaran asal perkara itu boleh membuatkan kita berinteraksi dengan peminat,” katanya pada sidang media Konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur di Dadi Cinema di sini, baru-baru ini.

Biarpun akur dengan strategi pemasaran yang disusun penganjur konsert, Akim yang popular dengan lagu Mewangi mengakui sedikit sangsi dengan keberkesanannya.

-Advertisement-

“Jujurnya, saya ada rasa sangsi dengan idea ini. Saya tidak tahu dan tidak biasa buat benda-benda gimik seperti ini.

“Apabila isteri saya, Stacy cakap bagaimana kalau gimik ini tidak menjadi, terus timbul rasa bimbang. Saya terfikir apa yang akan berlaku seterusnya.

“Saya pun berdoalah semoga apa yang dirancang menjadi. Rasa syukur bila gimik ini meraih perhatian pengikut, termasuk mereka yang bukan dalam kalangan peminat kami,” katanya.

Bagaimanapun, Akim mengakui dimarahi peminat selepas mereka mendapat tahu kisah IG digodam itu hanyalah gimik konsert.

“Setakat ini. saya tidak terima maklum balas negatif atau dikecam gara-gara gimik itu. Mereka cuma ‘menyirap’ (marah) dengan saya sebab rasa tertipu.

“Peminat sebenarnya risau jika IG saya benar-benar kena godam. Perkara itu boleh menjejaskan kerjaya seni dan membataskan peluang untuk kami berinteraksi.

“Saya hendak minta maaf. Jangalah marah saya lama-lama… Hari Raya Haji pun hendak dekat,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan menjelang Konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur, Akim berkata, ada pantang larang yang dipatuhi mereka.

“Disebabkan ini adalah konsert pertama berskala besar Akim & The Majistret, kita akan beri lebih fokus terhadapnya. Kita akan tolak undangan ‘show’ seminggu sebelum konsert.

“Kita akan beri lebih perhatian kerana konsert ini ada konsep dan penceritaan yang panjang. Persembahan ini menuntut komitmen yang tinggi daripada kami.

“Selain menyanyikan lagu popular, konsert ini juga bakal menyaksikan saya menyanyikan lagu yang pernah saya cipta untuk penyanyi lain seperti Bunga nyanyian Ara Johari, Cinta dendangan Marsha Milan dan banyak lagi.

“Cuma susunan muzik akan digubah mengikut kesesuaian muzik kami. Sebagai bonus, peminat juga akan dapat mendengar lagu dari album baharu kami yang masih dalam pembikinan pada konsert ini nanti,” katanya.
-Beritaharian