KUCHING: Kemunculan seekor harimau dahan Borneo atau ‘cloud leopard’ di Jalan Igan-Matu dalam Bahagian Mukah yang dirakam pengguna jalan raya menarik perhatian ramai kerana haiwan liar itu jarang dilihat pada waktu siang.
-Advertisement-
Dalam video berdurasi 23 saat yang dikongsikan pemilik akaun Facebook, Saat Majuni itu, haiwan terbabit dilihat sedang leka memakan sisa makanan di atas jalan.
Agak menakjubkan kerana haiwan itu yang biasanya akan bertindak agresif atau melarikan diri apabila bertembung dengan manusia, bersikap sebaliknya apabila tidak menghiraukan kehadiran keluarga itu yang menaiki kenderaan.
-Advertisement-
Ia memberi peluang kepada keluarga terbabit merakam video haiwan itu dengan jelas.
Harimau dahan itu yang biasanya aktif pada waktu malam dipercayai kelaparan sehingga berani keluar pada waktu siang untuk mencari makanan berikutan habitatnya yang kian mengecil apabila sebahagian besar kawasan sepanjang jalan berkenaan kini menjadi ladang kelapa sawit.
Difahamkan, penduduk di sepanjang Jalan Igan-Matu sudah beberapa kali terserempak haiwan berkenaan muncul di kawasan itu.
Harimau dahan Borneo adalah spesies terancam dan dilindungi sepenuhnya di negara ini.